Dewan Rakyat Kecoh, Noh Dakwa DAP Parti Chauvinis Dan Perkauman

Petaling Jaya – Sidang Dewan Rakyat kecoh apabila Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Selangor, Datuk Seri Noh Omar mendakwa DAP merupakan parti yang chauvinis dan perkauman.

Ahli Parlimen Tanjung Karang, Noh Omar sebelum itu mencelah perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2015 oleh Ahli Parlimen Gelang Patah, Lim Kit Siang.

Dewan kecoh apabila Kit Siang mendakwa Presiden PERKASA, Datuk Ibrahim Ali tidak dikenakan sebarang tindakan walaupun sebelum ini pernah membuat kenyataan untuk membakar Bible berbahasa Melayu.

“Penjelasan peguam kenapa Ibrahim Ali tidak didakwa setelah mengugut untuk bakar Bible telah menambah garam di luka bukan saja gagal memenangi kembali mereka yang sangsi malah diterima dengan caci dan maki dan ditolak mentah-mentah oleh majoriti para pengkritik.

“Peguam Negara berkata setelah dikaji, kenyataan Ibrahim tidak dikategori sebagai menghasut. Adakah ini bermakna, wujud konteks tertentu yang membolehkan seseorang mengugut mahu bakar Bible. Adakah wujud konteks tertentu mengugut membakar kitab suci agama lain dibolehkan?,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Namun tiba-tiba Noh bangun dan berkata, perkara yang melibatkan agama perlu bercakap berlandaskan undang-undang.

Kit Siang selepas itu turut bangun dan bertanya kepada Noh adakah beliau seorang yang sederhana (moderate) atau ekstrimis?

“Adakah YB (Yang Berhormat) seorang yang ‘moderate’ yang berdiri bersama perdana menteri atau YB seorang ekstrimis?” soal Kit Siang.

Suasana menjadi riuh dengan setelah Kit Siang meminta Noh menjawab soalan tersebut.

“Saya nak menyatakan dan dengar baik-baik, saya Ahli Parlimen dan rakyat Malaysia yang mematuhi peraturan undang-undang dan perlembagaan berdasarkan lima rukun negara. Kita bukan macam DAP, chauvinis , perkauman,” katanya.

Kenyataan Noh Omar itu menyebabkan Dewan Rakyat semakin kecoh dan pemimpin Pakatan Rakyat (PR) yang lain meminta beliau untuk menarik balik kenyataannya itu.

Namun Noh Omar bertegas dan mempertahankan kenyataannya mengenai mempertahankan agama.

“Sebab itu saya cakap tadi bab agama ini kita serah pada undang-undang. Hari ini kita lihat apa berlaku dalam kes enakmen jenayah syariah.

“Maksud saya, tidak boleh menuduh seseorang kalau seseorang itu bercakap mempertahankan hak dalam perlembagaan itu tak betul. Barang sesiapa mempersoalkan kedudukan perlembagaan itulah chauvinis. Janganlah nak salahkan apa yang ada di dalam perlembagaan,” ujarnya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.