DBKL Tidak Ada Kuasa Selamatkan Vivekananda Ashram

Kuala Lumpur – Kementerian Wilayah Persekutuan dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) tidak ada kuasa mahupun sebarang cara untuk menyelamatkan bangunan Vivekananda Ashram yang cuba dipertahankan sebagai satu simbol yang ikonik dan mercu tanda masyarakat India negara ini.

Menterinya, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata tanah serta bangunan berkenaan adalah harta persendirian yang pentadbirannya dipertanggungjawabkan kepada Lembaga Pemegang Amanah Vivekananda Ashramdan dan bukannya milik kerajaan.

Beliau menjelaskan oleh itu kuasa bagi menentukan ‘nasib’ tanah dan bangunan berkenaan adalah hak mutlak pemiliknya atau ahli lembaga pemegang amanah yang dilantik, yang mana dalam kes ini lembaga pemegang amanah hartanah berkenaan sendiri yang memohon untuk memajukannya.

Tengku Adnan berkata, beliau tidak mempunyai pilihan dan DBKL telahpun meluluskan permohonan pemegang amanah.

“Namun kita masih ada beberapa kaedah lain iaitu mendengar semula pandangan awam dan pemegang amanah dan kita akan berbincang semula.

“Apapun keputusan masih lagi tertakluk kepada lembaga pemegang amanah dan saya diberitahu kawasan Vivekananda Ashram bukan bangunan warisan.

“Jika ia sebuah tapak atau bangunan yang diiktiraf warisan, kita tidak akan membenarkan sebarang pembangunan dilakukan ke atas tanah dan bangunan tersebut,” tegas beliau.

Namun oleh kerana bangunan berusia 110 tahun yang kini digunakan sebagai sekolah bukan disenaraikan sebagai bangunan warisan beliau tiada pilihan untuk mempertahankan mana-mana pihak, kata Tengku Adnan.

Beliau ditemui pemberita ketika menyampaikan bantuan wang dan rumah sementara kepada empat mangsa kebakaran di rumah panjang di Jalan Ikan Emas,Cheras, di ibu negara, Isnin.

Untuk rekod, selain Vivekananda Ashram, Lembaga Pemegang Amanah yang sama turut mentadbir SJK (T) Vivekananda Brickfields, Vivekananda Primary and Secondary School Kuala Lumpur dan SJK (T) Thamboosamy Pillai di Sentul.

“Saya juga dimaklumkan pemegang amanah menghadapi masalah untuk mentadbir tiga buah sekolah di bawah pengurusan lembaga.

“Kerajaan juga memberikan bantuan RM90,000 setahun untuk sekolah-sekolah tersebut, saya tak pasti apa yang berlaku dengan lembaga pemegang amanah,” jelasnya.

Sebelum ini Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Seri Nazri Aziz mendedahkan pemilik dan lembaga pemegang amanah Vivekananda Ashram menolak tawaran kerajaann untuk mewartakan bangunan sejarah itu sebagai warisan negara.

Menurut Nazri, kerajaan melalui Jabatan Warisan Negara telah memulakan langkah untuk mewartakan bangunan itu sejak 2008.

Namun lembaga pemegang amanahnya memaklumkan sebarang pembangunan hanya akan melibatkan bahagian belakang dan tidak menjejaskan bangunan utama Vivekananda.

Jawatankuasa Bertindak ‘Selamatkan Vivekananda Ashram’ yang dianggotai 50 badan bukan kerajaan (NGO) telah mendesak Lembaga Pemegang Amanah Vivekananda Ashram berundur, dan memberi ruang kepada pihak lain menguruskannya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.