Beronok Terdampar Di Pantai Kuala Muda Jadi Pesta Kepada Penduduk Tempatan

Pantai Kuala muda – Fenomena ribuan beronok terdampar di Pantai Kuala Muda di sini, berhampiran Langkawi Lagoon Hotel dan Four Point Hotel menjadi seakan pesta kepada penduduk yang cuba mendapatkan beronok terbabit, baru-baru ini.

Tinjauan mendapati kejadian berlaku pada tarikh sama dengan latihan simulasi tsunami di pantai berkenaan dan berdasarkan maklumat daripada pencari beronok di situ, mereka menyatakan fenomena ganjil itu hanya diketahui melalui laman sosial.

Bagi Noorsiti Harah Noor Mohamad, 35, kedatangannya ke pantai itu semata-mata mahu mencari beronok setelah membacanya daripada laman sosial.

“Ia perkara yang biasa, pernah berlaku sebelum ini di sekitar Pantai Chenang, itu pun puluhan tahun lalu ketika saya masih kecil, lagipun beronok memang banyak di kawasan sini.

“Pada pandangan saya, beronok yang terdampar berpunca daripada air surut. Apabila air kembali pasang, semuanya ditarik kembali ke laut. Kita doakan semuanya sejahtera dan fenomena ini bukannya antara petanda tsunami ataupun gempa bumi,” katanya kepada Sinar Harian.

Seorang lagi pencari beronok, Mohd Shawal Mustai, 16, berkata, dia teruja dapat bersama-sama mencari beronok yang terdampar itu.

“Kami datang sini untuk cari beronok, banyak juga kami dapat dan ada juga yang minta beli tapi kami bagi percuma sahaja sebab kami pun ambil percuma.

“Kehadiran pengunjung di pantai lebih ramai berbanding biasa mungkin sebab maklumat yang tersebar di laman sosial yang menyatakan ribuan beronok terdampar di pantai ini,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.