Arwah Tegas Tetapi Penyayang Dan Bertanggungjawab Pada Keluarga

Kuala Lumpur –  “Walaupun ayah seorang yang tegas, tetapi amat penyayang dan bertanggungjawab dengan anak-anak, menantu malah amat rapat dengan semua cucunya,” kata Mahathir, anak kedua Allahyarham Tan Sri Bakri Omar.

Mahathir, 35 yang bekerja di sebuah syarikat swasta berkata, sempat mengambil cuti selama dua minggu untuk menjaga bapanya di Institut Kanser Negara (IKN), namun sedih kerana tidak bersama ketika bapanya menghembuskan nafas terakhir pada jam 8.40 pagi tadi.

“Saya sedang bekerja ketika itu dan dimaklumkan oleh ibu mengenai ayah yang tenat dan lima minit kemudian ibu telefon semula beritahu, ayah sudah meninggal dunia.

“Ketika saya menjaganya, dia berada dalam keadaan baik dan masih boleh berjalan serta bersembang. Tetapi dia ada beritahu sakit belakang badan akibat baring terlalu lama,” katanya.

Mahathir sebak apabila menceritakan kenangan terakhir mereka sekeluarga sebelum Allahyaram pergi meninggalkan mereka buat selama-lamanya.

“Arwah ada cakap mahu makan cendol dan dua minggu lalu kami semua makan bersama dan itu antara kenangan manis kami semua bersamanya,” katanya.

Allahyarham Bakri menghembuskan nafas terakhir di IKN disamping isterinya, Puan Sri Mazura Mohd Yusof selepas menghidap penyakit kanser sejak Mac 2010.

Mazura berkata, dia ada mengajak arwah untuk pulang ke rumah di Meru, Klang, namun beliau enggan kerana bimbang dengan kesihatannya yang semakin teruk.

“Sepatutnya dia balik rumah hari ini tetapi pagi tadi, banyak kahak di bahagian paru-paru dan dia mahu tinggal di hospital kerana ada kelengkapan,” katanya.

Menurutnya, suaminya seorang yang suka menolong orang dan menderma kepada mereka yang memerlukan selain seorang yang penyayang dan bertanggungjawab.

Jenazah bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Bakri Omar, 66 tahun selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bukit Kiara kira-kira jam 3.50 petang tadi.

Allahyarham meninggalkan seorang isteri, Mazura Mohd Yusof, 44, empat orang anak, Eda Mastura, 41, Mahathir, 35, Mahadi, 35 dan Maisarah, 10 tahun serta empat orang cucu. Mazura merupakan isteri kedua Allahyarham.

Sementara itu, bekas Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohd Bakri Zinin menyifatkan Allahyarham seorang ketua yang berkaliber, tegas dan berhemah dalam menjalankan tugas.

“Allahyarham seorang ketua yang senang dibawa berbincang dan memberikan arahan dengan jelas kepada anggotanya,” katanya.

Beliau berkata, dia bertugas sebagai Ketua Polis Daerah Sandakan sementara Allahyarham adalah Pesuruhjaya Polis Sabah pada waktu itu.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.