RTC Yang Dibangunkan Kerajaan BN Ditukar Nama Jadi PKD

AYER KEROH – Semua 201 Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) di seluruh negara yang dibangunkan oleh kerajaan BN sebelum ini akan dijenamakan semula kepada Pusat Komuniti Desa (PKD)

Memetik laporan BH Online, Menteri Pembangunan Luar Bandar, Rina Harun, berkata penjenamaan itu bermula bulan ini melibatkan 196 mini RTC dan lima RTC.

Menurutnya lagi, fungsi RTC yang kini dikenali PKD akan ditambah baik termasuk menempatkan lebih ramai usahawan, khususnya masyarakat luar bandar untuk memasarkan produk jualan dan perniagaan di pusat berkenaan.

“Semua mini RTC mahupun RTC selepas ini hanya akan dikenali sebagai PKD,” katanya selepas mengadakan kunjungan hormat ke atas Ketua Menteri Melaka, Adly Zahari hari ini.

RTC pertama di Gopeng, Perak secara rasmi dilancarkan oleh bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada 18 Februari 2012 sebelum kemudiannya diperluaskan ke seluruh negara.

RTC berkonsepkan ‘one-stop centre’, merupakan sebuah hentian yang menawarkan pelbagai perkhidmatan yang bermanfaat kepada penduduk sekitar lingkungan 100 kilometer radius dalam usaha kerajaan BN ketika itu untuk meningkatkan taraf sosioekonomi masyarakat luar bandar. – SuaraTV

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.