Pembantu Najib Buat Laporan Polis Terhadapnya Esok

SHAH ALAM – Bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak mengarahkan pembantunya untuk membuat laporan polis supaya membuka semua kes-kes pembunuhan yang membabitkannya.

Menerusi Facebook Najib berkata pembantunya dijangka akan membuat laporan pada Jumaat dan tindakan ini katanya bertujuan agar siasatan terhadapnya boleh dilakukan semula.

“Esok, saya akan meminta pembantu saya untuk membuat laporan polis terhadap saya supaya pihak polis di bawah kerajaan Pakatan Harapan boleh menyiasat semula jika saya terlibat dalam semua kes-kes pembunuhan ini,” katanya dalam suatu hantaran Facebook malam ini.

Jelasnya keputusan tersebut susulan kenyataan veteran DAP agar kerajaan Pakatan Harapan menggesa siasatan terhadap pembunuhan berprofil tinggi disiasat semula.

“Untuk kali kelima, saya mendesak Kit Siang untuk memenuhi apa yang dia mahu minggu lalu iaitu membuka siasatan khas untuk kesemua kes-kes ini tetapi saya rasa ini membuang masa sahaja untuk melayan dia.

“Kit Siang berpusing pusing cuba mengelirukan penyokongnya kononnya saya menulis Kit Siang pernah berkata tiada keperluan untuk kes-kes itu disiasat lagi, walhal saya sendiri berulangkali mahukan kes itu disiasat semula memandangkan HARAPAN kini adalah kerajaan,” kata Najib lagi.

Sebelum ini Kit Siang berkata beliau akan membuka semula siasatan ke atas kes-kes kematian berprofil tinggi seperti kes Altantuya Shaariibuu, Kevin Morais, Hussain Najadi, Teoh Beng Hock dan Ahmad Sarbani Mohamed sekiranya dirinya merupakan Perdana Menteri.

Lim berkata demikian mengulas saranan bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak agar beliau menggesa perdana menteri membuka semula siasatan terhadap beberapa kes pembunuhan berprofil tinggi.-SuaraTv

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.