Muslim Disaran Elak Kerja Tempat Terdedah Dengan Alkohol

KUALA LUMPUR -Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa menasihatkan mana-mana individu yang beragama Islam mengelakkan diri daripada bekerja di kedai yang berisiko untuk mendedahkan diri mereka dengan alkohol.

Katanyam, langkah itu boleh diambil sebagai langkah berjaga-jaga agar tidak berlaku seperti insiden di mana seorang juruwang di sebuah kedai menjadi viral apabila enggan memegang botol arak ketika pembeli hendak memebeli minuman itu.

“Arak diharamkan oleh Islam. Itu perkara asas, malah para ulama berkata bila sesuatu yang haram, walaupun yang memerah anggur tidak minum arak yang terhasil daripadanya, ia dianggap haram juga.

“Jadi sebagai seorang pekerja kalau dia tahu tempat yang dia bekerja itu akan melibatkan soal-soal ini, dia perlu berhati-hati lebih awal.

“Kalau dia ambil tugas itu, dia sudah tahu salah satu bidang tugas ialah kena melayan pembeli arak,” katanya semasa Dialog Menteri Rahmatan Lil A’lamin di Malaysia di Universiti Malaya pada Rabu.

Mujahid dalam masa yang sama menolak perbuatan pihak yang memviralkan video terbabit kerana ia menimbulkan rasa tidak senang dalam masyarakat, selain melibatkan sensitiviti umat Islam.

“Isu yang paling kita tidak suka bila perkara itu diviralkan ialah juruwang itu dimalukan dan dianggap bodoh kerana tidak mahu memegang botol arak,” katanya.

Minggu lalu tular di media sosial, rakaman video seorang juruwang enggan memegang botol arak kerana katanya beliau dalam keadaan berwuduk.-SuaraTv

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.