” Jangan Biarkan Bernama Rosak Di Atas Ketaksuban Agenda Politik- UMNO

KUALA LUMPUR – UMNO hari ini menganggap Menteri Penerangan Gobind Singh Deo sebagai gagal mengotakan janjinya sebelum ini berhubung pelantikan bekas editor The Rocket sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama).

Ketua Penerangan parti itu Datuk Dr Shamsul Anuar Nasarah berkata keputusan melantik Wan Hamidi Hamid yang cenderung kepada suatu parti itu tidak melambangkan prinsip untuk membebaskan campur tangan politik dalam agensi berita yang seharusnya bebas.

“Pelantikan ini sama sekali bertentangan dengan kenyataan Menteri Penerangan, Gobind Singh Neo baru-baru ini bahawa agensi berita tidak lagi perlu diketuai oleh seseorang yang berkepentingan politik.

“Beliau juga berkata, akhbar dan agensi berita harus bebas dan non-partisan dalam liputan dan tidak memihak mana-mana parti politik.Malangnya, Gobind sendiri tidak dapat mengotakan kata-kata dalam mempertahankan media itu bebas dalam sebarang campur tangan politik terutama dalam kes pelantikan Wan Hamidi di Bernama,” katanya menerusi kenyataan media hari ini.

Tambahnya, tindakan kerajaan Pakatan Harapan pada hari ini jelas tidak menunjukkan keadilan sebaliknya akan merosakkan Bernama dengan agenda politik parti itu.

“Apakah dengan menguasai semua cabang komunikasi akan mengukuhkan lagi kedudukan kerajaan pada masa depan?  Jangan biarkan Bernama rosak di atas ketaksuban agenda politik.

“Saya harap Kerajaan PH bersikap adil dan benar benar membebaskan media dari sebarang pengaruh sebagaimana dalam janji mereka.

“Bagaimanapun sangat malang nampaknya kebebasan media ketika ini tidak berlaku sebagaimana dahulu,” katanya lagi.

Terdahulu pada 8 Oktober yang lalu, Majlis Perundingan Melayu (MPM) mengeluarkan nota bantahan terhadap pelantikan Wan Hamidi Hamid apabila beliau merupakan penggiat tegar dan aktif dalam sebuah parti politik yang bergabung dalam membentuk kerajaan Pakatan Harapan. -SuaraTv

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.