Gempa Bumi Landa Papua New Guinea

SYDNEY – Satu gempa bumi besar berukuran 7.0 melanda pulau New Britain di Papua New Guinea pagi ini, menyebabkan penggera tsunami diaktifkan sebelum pihak berkuasa menarik semula amaran itu.

Jabatan Kajian Geologi Amerika Syarikat (USGS) berkata gempa berkenaan berlaku kira-kira 125 kilometer (km) di timur Kemba pada kedalaman 40km.

USGS turut merekodkan beberapa gegaran berukuran sehingga 6.2 sebelum dan sejurus selepas gempa bumi besar itu, yang berlaku pada jam 6.48 pagi waktu tempatan.

Susulan kejadian, Pusat Amaran Tsunami Pasifik mengeluarkan amaran tsunami di kawasan pantai kira-kira 300 km dari pusat gempa namun ia ditarik semula selepas mendapati tiada ancaman seumpama itu dikesan akan berlaku.

Jurucakap Pejabat Pengurusan Bencana Papua New Guinea di Portt Moresby berkata, tiada laporan mengenai kerosakan diterima setakat ini tetapi lazimnya agensi tempatan memerlukan beberapa jam sebelum dapat melaporkan sebarang kerosakan.

Penolong Pengarah Pemantau Geofizikal Papua New Guinea, Chris McKee berkata, ukuran sebenar gempa itu mungkin lebih kecil dari yang dilaporkan.

“Kami percaya gempa berkenaan berukuran 6, bukan 7.3 seperti disiarkan beberapa laporan manakala kedalaman ialah pada 50 – 70 km.

“Pada perimeter dan kedalaman itu, kami tidak rasa tsunami akan berlaku,” katanya.

Menurut McKee, beberapa cubaan sedang dibuat untuk menghubungi agensi tempatan di New Britain untuk mengetahui jika gempa bumi terbabit ada mendatangkan sebarang kerosakan. – AFP

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.