Ezam: Jangan Undi Anwar, Isa Samad

SHAH ALAM – Menjelang dua hari sebelum Pilihan Raya Kecil (PRK) Port Dickson, badan pemantau ketelusan HISBAH menggesa orang ramai agar tidak mengundi Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim dan bekas menteri besar Negeri Sembilan Tan Sri Isa Samad.

Pengerusi HISBAH, Datuk Mohamad Ezam Mohd Nor mendakwa Anwar “mempengaruhi dan mungkin juga memaksa” penyandang kerusi itu melepaskan jawatan.

Ezam merupakan bekas Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) yang juga bekas setiausaha politik Anwar kira-kira 20 tahun lalu.

Menurut Ezam, tiada alasan munasabah diberikan dan menyebabkan wang negara terpaksa digunakan hanya untuk melaksanakan PRK yang tidak perlu.

Manakala Isa pula, katanya, pernah dikaitkan dengan politik wang selain berdepan pelbagai dakwaan berkaitan salah laku urus tadbir.

“Pada hemat HISBAH, pengundi Port Dickson bebas mengundi calon-calon lain kerana mereka tidak didapati melanggar prinsip-prinsip penting dari sudut urus tadbir negara yang juga digariskan HISBAH dalam persoalan kepimpinan,” katanya.

Kerusi Port Dickson dikosongkan penyandangnya, Datuk Danyal Balagopal Abdullah bagi memberi laluan kepada Anwar untuk kembali ke parlimen seterusnya bergelar perdana menteri.

PRK Port Dickson yang akan diadakan Sabtu ini menyaksikan pertandingan tujuh penjuru melibatkan Anwar, Isa Samad (Bebas), calon PAS Lt Kol (B) Mohd Nazari Mokhtar dan empat lagi calon bebas termasuk bekas pembantu Anwar, Mohd Saiful Bukhari Azlan yang mendakwa diliwat pemimpin PKR itu. -SuaraTv 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.