Ezam Bidas Wan Azizah Usung Cerita Ditawarkan Jawatan PM

KUALA LUMPUR — Datuk Mohamed Ezam Mohd Noor membidas Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail kerana “ke hulu hilir” bercakap soal tawaran jawatan perdana menteri.

Menyifatkannya tidak wajar, bekas senator berkata presiden PKR harus berhenti bercakap soal itu kerana jawatan bukan untuk kemegahan, sebaliknya amanah.

Pengerusi Hisbah juga meminta Wan Azizah tidak “terheret” dengan tawaran tersebut, apatah lagi titah Yang diPertuan Agong harus “dipelihara kehormatannya”.

“Kalau mahu dihormati sebagai seorang timbalan perdana menteri, bekerja dan berbicaralah sebagai seorang timbalan perdana menteri,” katanya di Facebook hari ini.

“Perdana menteri dan timbalan perdana menteri bukan jawatan sebarangan yang boleh menjadi bualan harian di tepi jalan”.

Ezam berkata timbalan perdana menteri seharusnya menunjukkan teladan kepada ahli kabinet, apatah lagi prestasi mereka belum mendapat keyakinan rakyat.

Kelmarin, Wan Azizah mengulangi kenyataan berkaitan tawaran yang diterimanya untuk menjadi perdana menteri selepas Pakatan Harapan menang 9 Mei lalu.

Namun, tawaran itu ditolak kerana beliau berpegang janji yang dibuat sebelum pilihan raya umum ke-14 untuk menjadikan Tun Dr Mahathir Mohamad perdana menteri. – MalayMail

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.