VIDEO: Exco Melaka Tutup Jalan Syurga, Buka Pintu Neraka, Kata Penduduk

Oleh: Shuhaniza Said

MELAKA – Penduduk kampung Pulau Nibong memohon agar pihak kerajaan negeri dan wakil rakyat mendengar rintihan dan keluh kesah mereka yang terkesan susulan keputusan menutup jalan pintas yang menghubungkan kampung itu dengan Taman Akasia.

Ketika ditemui baru-baru ini, rata-ratanya meluahkan kekesalan dan rasa terkilan kerana hak mereka seolah-olah dinafikan apabila mendakwa keputusan berkenaan dilakukan tanpa mengambil pandangan mereka yang terlebih dahulu menetap di kawasan berkenaan.

Julia Mohamad, 45, berkata perbincangan tentang penutupan jalan itu hanya dilakukan sebelah pihak iaitu dengan penduduk di Taman Akasia, sementara penduduk kampung langsung tidak mengetahui butiran awal tentang perancangan untuk menutup jalan tersebut.

“Tiada seorang wakil kampung dipanggil untuk bermesyuarat. Setiap keputusan perlu adakan mesyuarat kerana kita adalah penduduk lama di kampung ini. Tak boleh lah guna alasan banyak kereta yang lalu, mereka pinggirkan orang kampung.

“Kerana kita sendiri dalam satu mukim yang sama, kita dalam masjid yang sama, berjemaah bersama, tiba-tiba kita disisihkan begitu sahaja, terus mereka buat keputusan macam itu. Apa salahnya kita dipanggil untuk sama-sama buat kata putus,”katanya kepada SuaraTv.

Isu penutupan Jalan Pulau Nibong-Taman Akasia di Batu Berendam di sini menjadi hangat apabila video Exco Pertanian, Pembangunan Usahawan dan Industri Asas Tani Melaka Norhizam Hassan Baktee, yang juga ADUN Pengkalan Batu, bersikap kasar terhadap penduduk kampung tersebut tular di laman media sosial.

Dalam penjelasan mengenai penutupan jalan itu, Norhizam  berkata Jalan Kampung Pulau Nibong-Taman Akasia ditutup demi keselamatan rakyat kerana mendakwa terdapat kes kemalangan dan kecurian berlaku akibat aliran trafik yang tinggi di jalan tersebut.

Bagaimanapun Julia yang juga bekas pensyarah sebuah kolej swasta berkata, sebagai seorang wakil rakyat, Norhizam sepatutnya menjadi perantara dan tempat untuk menyuarakan aduan, namun beliau tidak berperanan seperti yang sepatutnya. 

“Dia (YB) bukannya ajak orang kampung jalan di tepi sungai dan cari alternatif. Sepatutnya dia tanya kampung, kalau buka jalan di sekian sekian awak selesa tak. Itulah sepatutnya peranan YB, bukannya dia terus arahkan penutupan jalan tanpa jumpa dengan wakil kampung 

“Kerajaan baru kita asyik laungkan perpaduan kaum, tapi bila buat macam ini dengan sokongan YB anda, ke mana pergi perpaduan? Kalau anda lihat video, masa perjumpaan (Selasa) orang taman semua diam sebab YB dah bercakap untuk mereka. Tapi siapa nak bersuara untuk kami? Padahal dia juga YB kawasan kami. Dia sangat bongkak.

“Sepatutnya dia lebih sopan, jangan nak tunjuk eksyen…Kami ini penduduk juga, kami pun bayar cukai jalan juga, kalau dibawa berunding, apa salahnya? Mana saluran kami? Pergi sini salah, pergi sana salah… MPHTJ kata bawa ke mahkamah.Kami ni orang kampung, bukan banyak pendapatan. Kan elok cari alternatif lain, ibarat menarik rambut dalam tepung,” katanya.

Beliau menambah, penduduk kampung memahami kesulitan dan masalah yang disuarakan penduduk di Taman Akasia, namun tidak bersetuju jika kedua-dua jalan pintas terus ditutup kerana terdapat alternatif lain yang boleh diambil yang menguntungkan kedua-dua pihak.

Sementara itu Fatimah Masri, 52, berkata penutupan jalan pintas tersebut sangat menyukarkan penduduk kampung dan penduduk setempat yang menggunakan laluan tersebut bagi memudahkan kehidupan seharian mereka.

“Memang saya sedih sebab kita dah biasa lalu sini, kita nak ke kedai,hantar anak sekolah…dan juga kita nak pergi masjid. Kalau mereka nak tutup yang sebelah sini, tak mengapa tapi yang depan jangan tutup. Kalau dia kata ramai yang lalu jalan itu, bukan semua orang kampung kami yang lalu…kami ni berapa kerat saja yang lalu. Ramai guna laluan ini untuk short-cut. 

“Bila dia tutup, kami orang kampung yang susah. Patutnya kena bincang dengan penduduk kampung. Kalau dia nak tutup laluan untuk orang lain kami tak kisah, tapi kami ini dah duduk lama di sini, penduduk taman tu baru berapa tahun duduk,”ujar beliau.

Dalam pada itu ujarnya, penutupan jalan pintas itu bukan sahaja memberi kesan dari segi kesulitan untuk bergerak, malah apa yang lebih teruk,ia memberi kesan kepada keharmonian hubungan antara penduduk Kampung Pulau Nibong dan Taman Akasia. 

“Disebabkan penutupan jalan, penduduk Taman Akasia dengan penduduk kampung dah masam-masam muka…kita tak sedap hati la. Seumpama nak putuskan silaturrahim dengan kita. Dengar khabar di masjid pun dah macam tu. Dulu duduk sama-sama, sekarang tak dah kerana segan. Kita fikir saja lah ini jalan untuk ke syurga. Bagi orang guna laluan itu pahala. Ini biladah tutup, seolah-olah ke neraka

“Dengarlah suara rintihan penduduk kampung…jangan belah satu pihak. penduduk kampung pun nyawa. Fikirlah kesusahan kami sewaktu kecemasan, banjir, kebakaran… Nak lalu, payah. Kecemasan tak semestinya berlaku siang hari..kadang berlaku tengah malam,” luah beliau. 

Bagi Hajah Asiah Tompang, 65, yang tinggal di kampung itu sejak awal 80-an, beliau menolak dakwaan sesetengah pihak yang mengatakan isu itu sengaja dijadikan mainan politik. 

Menurutnya, apa yang dibangkitkan oleh penduduk kampung adalah isu keselamatan yang mungkin terancam susulan kekerapan bencana banjir yang berlaku dek kedudukan kampung yang terletak berhampiran Sungai Putat.   

“Kita merayu kerana masalah utama dekat sini adalah banjir. Kita tak tahu kuasa Allah, bila hujan dua tiga hari, air sangat deras. Sekarang tak dapat nak tunjuk sewaktu banjir yang melanda, kalau kita cakap pun mereka tak ambil berat,”katanya.

“Dia buat keputusan sendiri tanpa berunding… Ini kah dinamakan kerajaan baru yang nak tunjukkan tauladan kepada kita dan anak-anak kita. Sepatuntnya kena tunjukkan jasa baik kerajaan sekarang daripada dulu. Kalau nak kata yang dulu tak baik, maka yang sekarang kena tunjuk yang baik supaya orang boleh ikut tauladan yang baik. Bila buat macam ini, rakyat semua dah tengok 

“Kalau dia tutup pintu taman, dia tutup pintu jalan seolah-olah dia tutup pintu syurga, dia buka pintu neraka,”katanya lagi. -SuaraTv

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.