VIDEO: Exco Melaka Perlu Perbaiki PR Dengan Pengundi

Oleh: Shuhaniza Said

MELAKA – Penduduk di Taman Akasia tampil menjelaskan bahawa keputusan untuk menutup Jalan Kampung Pulau Nibong-Taman Akasia dilakukan demi keselesaan dan keselamatan penghuni taman perumahan berkenaan.

Pengerusi Persatuan Penduduk Taman Akasia, Mohamad Shaari Mohamad Amin berkata, penutupan jalan itu dilakukan selepas mengambilkira beberapa faktor utama sebelum permohonan mengenainya diusulkan mengikut prosedur bagi tujuan kelulusan pihak berkuasa tempatan (PBT).

“Kenderaan yang melalui jalan Taman Akasia ni adalah kenderaan di luar taman. Kalau setakat dilalui penduduk Pulau Nibong, tak ada masalah. Tapi ia ia diambil kesempatan oleh penduduk luar yang dari Bukit Beruang untuk ke Ayer Keroh. Sepatutnya jalan yang disediakan adalah jalan JPS di tepi sungai. Tapi mereka ambil kesempatan unutk masuk jalan taman melalui Jalan Akasia 7.

“Terdapat juga kes-kes kecurian. Bila kita orang di taman ini nak tangkap pencuri,dia akan lari melalui jalan pintas di Jalan Akasia 7 terus ke Bukit Beruang. Kita sering ada masalah yang sama seperti ini,” katanya kepada SuaraTv.

Menurut Mohamad Shaari, penduduk Taman Akasia sudah terlalu lama ‘menanggung’ sengsara gara-gara pembukaan dua jalan pintas yang menembusi taman perumahan mereka.

Jelas beliau, disebabkan banyak aduan daripada penghuni, maka jawatankuasa taman perumahan sepakat untuk mengusulkan perkara berkenaan kepada pihak berwajib, di mana permohonan itu mengambil masa kira-kira empat bulan sebelum diluluskan pada 21 September lalu.

Jelas beliau lagi, ADUN Pengkalan Batu, Norhizam Hassan Baktee hanya menjalankan tugas selepas mendapat ulasan daripada PBT, dan perkara berkenaan langsung tidak berkaitan dengan isu politik sebagaimana dakwaan sesetengah pihak.

“Saya nampak, cara YB ini tegas. Saya wakil penduduk di Taman Akasia berterima kasih kepada YB kerana memberi keselesaan kepada penduduk Taman Akasia.

“Kita penduduk Taman Akasia beli rumah pada ketika itu dengan harga RM148 ribu untuk bumiputera, dan untuk bukan bumiputera dengan harga RM170 ribu lebih. Bila kita beli rumah dengan harga itu, tapi keselesaan kita tak ada.

“Bila orang kampung bangkitkan isu politik, itu yang saya rasa tak patut isu itu dikaitkan dengan politik.

“Kalau ikutkan mereka berkata hak mereka dinafikan pihak YB, sepatutnya mereka kena fikirkan dahulu laluan yang sedia ada iaitu Jalan Haji Jalil,” jelas Mohamad Shaari.

Beliau juga menambah, palang akan dibuka sekiranya berlaku kecemasan di Kampung Pulau Nibong ataupun sekiranya penduduk kampung mengadakan majlis keraian.

“Sekiranya berlaku kecemasan atau ada majlis keraian di Kampung Pulau Nibong, kita akan buka kunci. Ada tanggapan yang kata kita tutup terus. Sekiranya ada kecemasan kita buka.Kita faham, kenderaan seperti bomba, ambulans nak lalu ada masalah,” ujarnya sambil menambah isu itu tidak perlu diperbesarkan dan boleh diselesaikan secara baik.

Seorang lagi penduduk, Simon Tan Poh Chun berkata, beliau adalah salah seorang yang paling terkesan lantaran kedudukan rumahnya yang terletak betul-betul di hadapan jalan pintas berkenaan.

“Saya sudah buat aduan banyak kali, minta jalan itu ditutup. Kerana kereta sangat laju, mereka terus masuk jalan pintas yang terletak betul-betul di depan rumah saya. Kadang-kadang saya balik, beri signal nak masuk rumah, dia hentam depan kereta kita.

“Ada yang suruh saya pindah, jual sahaja rumah ini, jangan tinggal di sini lagi. Sebab selalu komplen. Janganlah macam ini. Kalau tidak ada sebab, kami pun tak buat aduan,” katanya.

Sementara itu, seorang lagi penduduk Taman Akasia, Ramli Adnan, 46, berpendapat isu penutupan jalan itu sengaja diperbesarkan susulan video Norhizam bersikap kasar terhadap penduduk kampung telah tular di laman media sosial.

“Itu mungkin saya rasa atas individu, itu cara dia. Mungkin dia perlu perbaiki cara dia, PR (hubungan dengan orang awam) dia dengan orang. Tapi dari segi keputusan, dia dah ikut SOP. Mungkin PR dia patut diperbaiki lagi,” kata beliau.

Justeru beliau mencadangkan agar satu lagi pertemuan diadakan bagi menjernihkan suasana.

“Kena ada pihak ketiga yang berkecuali sebagai moderator. Kedua-dua pihak boleh beri pandangan. Kerajaan negeri pun perlu ada wakil,jadi dari situ mereka boleh buat keputusan apa yang terbaik bagi kedua-dua pihak,” katanya.

Seorang penduduk, Anand Prakash, 45, berpendapat bahawa tanggapan negatif orang luar terhadap Norhizam adalah disebabkan mereka hanya menonton video yang tersebar tanpa mengetahui kejadian sebenar yang dialami penduduk Taman Akasia.

“Isu perkauman tak timbul. Golongan India di taman ini dalam enam atau tujuh keluarga sahaja, isu perkauman tak timbul. YB ini hanya nak tolong kita penduduk taman. Mungkin cara percakapan tak berapa sesuai menyebabkan segelintir individu rasa tak selesa dan mereka bawa isu politik dan isu agama. Sebenarnya benda ini tak wujud. Perkara ini kalau kita bincangkan dalam nada suara yang elok, saya rasa masalah ini tak timbul langsung,” kata beliau.

Isu penutupan Jalan Pulau Nibong-Taman Akasia di Batu Berendam di sini menjadi hangat apabila video Norhizam yang juga Exco Pertanian, Pembangunan Usahawan dan Industri Asas Tani Melaka bersikap kasar terhadap penduduk kampung tersebut tular di laman media sosial.

Dalam penjelasan mengenai penutupan jalan itu, Norhizam berkata Jalan Kampung Pulau Nibong-Taman Akasia ditutup demi keselamatan rakyat kerana mendakwa terdapat kes kemalangan dan kecurian berlaku akibat aliran trafik yang tinggi di jalan tersebut.

Susulan kecaman berpanjangan yang diterima, Norhizam semalam memohon maaf di atas kekasaran bahasa serta keterlanjuran kata ketika berkomunikasi dengan rakyat dalam menyelesaikan isu penutupan jalan tersebut. -SuaraTv

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.