Tabur Paku Sabotaj Penguat Kuasa

PENDANG – Menabur paku di atas jalan masuk antara tindakan dilakukan oleh penceroboh tanah di hutan simpan bagi mensabotaj Operasi Penguatkuasaan Bersepadu Jabatan Perhutanan Negeri Kedah (JPNK) atau Ops Pugar bersama agensi di bawah Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS) di Hutan Simpan Bukit Perak, di sini, semalam.

Timbalan Pengarah Operasi JPNK, Mohd Rahim Ramli berkata, sebanyak tujuh kenderaan pacuan empat roda milik agensi yang menyertai operasi terbabit pancit akibat terkena paku yang ditabur penceroboh dan terpaksa mengambil masa agak lama untuk diganti semula sebelum meneruskan operasi.

“Sebanyak 20 hektar kawasan perhutanan milik kerajaan di kawasan hutan simpan Bukit Perak dicerobohi oleh penduduk tempatan yang tidak bertanggungjawab dengan menanam pelbagai jenis tanaman seperti getah dan pokok buah-buahan,” katanya.

Menurutnya, dalam operasi itu, seramai 157 kakitangan dari JPNK dan 18 agensi lain seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM), Pejabat Daerah Pendang, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan agensi-agensi lain terlibat.

“Dari jumlah itu, seramai 70 daripada mereka adalah anggota penguat kuasa dari JPNK dan selebihnya dari agensi lain,” katanya.

Katanya, lokasi operasi membabitkan kompartmen 37 dan 38 (ZON A B C) di Hutan Simpan Bukit Simpan.

“Kesemua lokasi operasi merupakan kawasan hutan simpan dan kami ingin rakyat sedar akan kesalahan mereka menceroboh kawasan terbabit bagi tujuan aktiviti pertanian secara haram boleh didakwa di bawah Seksyen 47 Akta Perhutanan Negara 1984,” katanya.

Rahim berkata, sebelum operasi, pihak Jabatan Perhutanan telah membuat pengintipan terlebih dahulu sejak dua minggu lalu bagi mengumpul maklumat.

“Hari ini (semalam) kami ambil tindakan memusnahkan tanaman yang ditanam secara haram,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.