Suami Dipenjara 6 Tahun Rogol Isteri

Seorang lelaki Romania dijatuhi hukuman penjara enam tahun oleh mahkamah United Kingdom (UK) atas kesalahan merogol ‘isterinya’ yang berusia 12 tahun, yang kini sedang hamil di rumah mereka di Essex.

Mahkamah pada Selasa diberitahu bahawa lelaki berusia 25 tahun itu yang tidak boleh dinamakan atas faktor undang-undang dan berlatar belakang gipsi berkahwin dengan gadis berkenaan di negara asal mereka tahun lalu sebelum berpindah ke UK, laporMirror.uk, lapor MD.

Tertuduh dipenjara selepas mengaku mengadakan hubungan seks dengan kanak-kanak berusia bawah 13 tahun.

Bagaimanapun, tertuduh menyatakan masih mahu menjalinkan hubungan dengan ‘isterinya’ apabila dia dibebaskan dari penjara kelak.

Pendakwa Raya Jamie Sawyer memberitahu mahkamah bahawa usia dewasa di Romania adalah 16 tahun, iaitu sama seperti di UK.

Sawyer berkata; “(Pasangan) bertemu di Romania dan mangsa berpendapat, tiada siapa yang mengadu mengenai jurang usia mereka.

“Dia telah kembali ke Romania, dan tertuduh mengatakan dia berhasrat untuk mengembalikan hubungan mereka apabila dia bebas.”

Kanak-kanak terbabit kini kembali ke Romania dan dijangka melahirkan anak pertamanya dalam tempoh terdekat.

Memetik laporan portal tersebut, perkahwinan pasangan berkenaan yang menyalahi undang-undang menarik perhatian pihak polis selepas melihat kereta pasangan tersebut berhenti di sebuah kedai mencuci kereta di Epping, pada 7 April lalu.

Ketika itu terdapat empat penumpang di dalam kereta – tertuduh, isteri tertuduh dan dua kanak-kanak.

Mengesyaki sesuatu, pihak polis kemudian menjejaki rumah tertuduh dan mendapati mereka tinggal bersama di sebuah bilik kecil.

Peguambela tertuduh, Kenyon memberitahu mahkamah bahawa kes tersebut adalah  “diluar kebiasaan”.

Kenyon berhujah bahawa latar belakang budaya tertuduh adalah satu faktor mitigasi penting (yang perlu dipertimbangkan).

“Saya tidak menemui sebarang persamaan dalam kes lain – fakta ini adalah luar biasa,” katanya.

“Tiada eksploitasi, kekerasan atau paksaan dalam kes ini. Ini adalah persetujuan dalam perkahwinan, walaupun perkahwinan yang tidak sah.

“Ini adalah satu amalan yang meluas, satu adat kuno yang masih diamalkan hari ini. Perkahwinan seorang gadis muda dan lelaki tua bukanlah satu perkara yang luar biasa dalam budaya mereka.

“Dia mengikuti tradisi itu dan terperangkap di dalamnya.”

Roma adalah kumpulan etnik terbesar di Romania dan salah satu yang terbesar di Eropah, tetapi masih menghadapi penganiayaan hingga ke hari ini.

Mahkamah juga mendengar bagaimana situasi semasa tertuduh berusia 24 tahun, semua kawan dan ahli keluarganya yang seusia dengannya sudah mendirikan rumah tangga.

Ibu bapa tertuduh yang hadir di mahkamah juga berkahwin dengan cara yang sama seperti anak lelakinya.

Lelaki itu diberikan ‘kredit penuh’ kerana mengaku merogol dan dipenjarakan selama enam tahun.

Dia juga perlu menghabiskan 10 tahun sebagai pesalah seks berdaftar.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.