Peluang Malaysia Ke Pusingan Akhir Piala Asia Semakin Kabur

KUALA LUMPUR – Peluang Malaysia memburu slot ke pusingan akhir Kejohanan Bola Sepak Piala Asia 2019 semakin kabur setelah tewas 0-2 kepada Hong Kong pada aksi ketiga pusingan kelayakan kumpulan B di Stadium Hong Kong, malam tadi.

Kekalahan itu menyaksikan Malaysia terus menghuni tangga tercorot kumpulan B dengan kutipan satu mata setelah beraksi tiga perlawanan setakat ini.

Pada aksi berkenaan yang disiarkan secara langsung oleh sebuah televisyen swasta, pasukan tuan rumah yang diperkuatkan dengan sebahagian besar pemain naturalisasi, banyak menguasai perlawanan dengan melancarkan serangan bertali arus ke kubu skuad kebangsaan.

Keadaan menjadi parah untuk skuad kebangsaan selepas kapten pasukan, Safiq Rahim dilayangkan kad merah oleh pengadil, Nivon Robesh Gamini dari Sri Lanka kerana dikatakan memijak kaki pemain tuan rumah pada minit ke-39.

Ketiadaan seorang pemain dimanfaatkan sepenuhnya oleh pasukan tuan rumah yang berjaya memecah kebuntuan pada minit ke-43 menerusi tandukan pemain naturalisasi dari Sepanyol, Jordi Tarres Paramo, hasil sepakan percuma diambil Wong Wai dan keputusan 1-0 itu kekal sehingga berakhirnya babak pertama perlawanan.

Kelekaan barisan pertahanan skuad kebangsaan dihukum oleh pemain naturalisasi dari England, Jaimes Anthony McKee yang menanduk masuk hantaran silang daripada Xu Deshuai pada minit ke-48 dan keputusan 2-0 itu kekal sehingga tamat perlawanan.

Bercakap selepas perlawanan itu, ketua jurulatih pasukan bola sepak kebangsaan Nelo Vingada berkata beliau menerima kekalahan itu dan menyatakan beliau terpaksa bergantung kepada serangan balas untuk menembusi kubu Hong Kong ekoran tiga penyerang yang sepatutnya bermain dalam perlawanan malam ini mengalami kecederaan.

“Hanya Mohd Safawi Rasid saja yang ada dan suka atau tidak, saya terpaksa meletakkannya bermain di barisan hadapan sungguhpun dia bukanlah penyerang jati dan saya percaya jika seorang lagi penyerang, Ahmad Hazwan Bakri berkeadaan cergas, saya pasti keputusan akan berbeza.

“Saya juga tidak mahu menyalahkan Safiq kerana menerima kad merah dan saya terima keputusan pengadil sungguhpun Safiq mendakwa dia tidak sengaja memijak kaki lawan,” kata Vingada. – BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.