“Kenapa Buat Saya Begini, Saya Ada Hati dan Perasaan” – Datuk Vida

KUALA LUMPUR, 11 Okt — Gegar Vaganza (GV) musim keempat belum membuka tirai namun penaja utamanya sudah mula berkecil hati.

Datuk Seri Hasmiza Othman semalam berasa kecewa apabila dirinya tidak dipanggil ke atas pentas memberi ucapan selaku penaja utama program berkenaan.

“Saya sakit hati. Saya gigih berpakaian cantik. Kenapa saya tidak dipanggil? Tidak boleh ke saya naik atas pentas untuk memperkenalkan diri?

“Mahu saya rebut mikrofon lagi ke untuk perkenalkan saya ini penaja? Saya ingat saya sudah jadi artis, tidak perlulah begitu,” katanya kepada ProjekMMO.

Pengeluar produk Pamoga dan Qu Puteh itu merupakan penaja GV sejak tiga musim lepas.

Hasmiza yang mesra disapa Vida semalam dijemput naik ke atas pentas untuk sesi bergambar tetapi bukan untuk sesi sidang media.

Ketua Saluran Melayu Astro Raqim Ahmad dan komposer Datuk Ramli MS menjawab soalan media walau Hasmiza berada di program sama.

GV musim keempat akan mula bersiaran 29 Oktober ini selama lapan minggu menampilkan 12 peserta tempatan dan Indonesia.

Penyanyi dari seberang, Firman membuat kejutan selain Aishah yang sebelum ini berkecimpung dalam dunia politik.

Hasmiza berkata penampilannya semalam tidak berbaloi apabila tidak diundang untuk memperkenalkan diri selaku penaja utama.

“Saya belanja punyalah banyak. Saya memang tak tahan. Saya tidak makan dengan mereka [selepas majlis]. Saya ‘lari’.

“Takkan saya naik atas pentas buat tidak tahu memperkenalkan diri. Saya boleh buat tetapi saya tunggu mereka beri penghargaan kepada penaja.

“Saya tertanya-tanya kenapa mereka buat saya begini? Saya pun ada hati dan perasaan,” katanya. – MalayMail

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.