Jurulatih Huang Qiang Didakwa Rogol Atlet Terjun Negara

KUALA LUMPUR – Seorang jurulatih Kesatuan Renang Amatur Malaysia (ASUM) didakwa di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, atas kesalahan merogol seorang atlet acara terjun, September lalu.

Huang Qiang, 35, yang juga bekas juara dunia mengaku tidak bersalah dan memohon dibicarakan pertuduhan terhadapnya dibacakan jurubahasa dalam Bahasa Mandarin di hadapan Hakim Wan Mohd Norisham Wan Yaakob.

Berdasarkan kertas pertuduhan, Huang didakwa merogol atletnya, yang berusia 20 tahun di dalam Gimnasium Terjun, Kompleks Akuatik Sukan Negara, Kompleks Sukan Bukit Jalil, Sri Petaling, di sini, jam 5.30 petang, 26 September lalu.

Dia didakwa mengikut Seksyen 376(1) Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebat, jika sabit kesalahan.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM50,000 dengan dua penjamin, berserta syarat tambahan pasport diserahkan kepada mahkamah dan perlu melaporkan diri di balai polis setiap dua kali sebulan.

Tertuduh juga dilarang mengganggu, menghubungi dan mengugut saksi serta menetapkan 6 November ini untuk serahan dokumen dan sebutan semula kes. – BH

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.