Boy Iman Direman Di Jitra Pula

Pengarah Urusan DBI Properties, Datuk Nuruliman A Rahman atau dikenali sebagai Boy Iman direman semula buat kali kelima bagi membantu siasatan berhubung penipuan jualan rumah membabitkan nilai RM6.2 juta.

Boy Iman direman dua hari bermula hari ini bersama tiga pengarah syarikat Juta Kelulut Global Resources yang berusia antara 30 hingga 45 tahun termasuk seorang wanita.

Perintah reman dikeluarkan Majistret Kanan Mahkamah Jitra, Mohd Hadi Hakimi Harun mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan pagi tadi.

Memetik laporan BH Online, mereka yang berpakaian lokap tiba di mahkamah jam 9 pagi dengan tangan bergari dan diiringi anggota polis.

Ummi Kalthum Zakaria mewakili Boy Iman manakala tiga yang lain diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Zuriah Mohd Nordin.

Sebelum ini Boy Iman ditahan reman di Ampang dan Shah Alam, Selangor; Muar, Johor dan Sungai Petani, Kedah.

DBI Properties dan Syarikat Juta Kelulut Global Resourses disiasat atas dakwaan melakukan penipuan jualan rumah membabitkan mangsa dari sekitar kawasan Negeri Sembilan, Johor dan Selangor.

Setakat ini, polis menerima sebanyak 203 laporan berhubung penipuan skim perumahan DBI Properties daripada mangsa di seluruh negara.-Malaysiakini

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.