Aisyah Aziz Tak Kisah Rambut Dicerca

KUALA LUMPUR: Penyanyi, Aisyah Aziz, tidak pernah melatah apabila penampilan dan imejnya yang sering berubah-ubah dikritik netizen di laman sosial.

Kini tampil dengan gaya rambut berwarna kuning, Aisyah berkata, beliau sudah lali dengan kritikan sedemikian dan dirinya juga yakin, pendekatan tidak membalas cercaan menjadi senjata terbaik untuknya berhadapan situasi berkenaan.

“Mereka (netizen) boleh bercakap apa saja yang diinginkan. Tetapi, cakap-cakap itu sedikit pun tidak mengubah diri ini. Saya akan tetap menjadi diri sendiri dan pada masa sama menjaga batasan sepatutnya.

“Jujurnya, saya langsung tidak melatah dan percaya, lama-lama mereka akan berdiam juga. Kalau saya balas, bimbang ia semakin menjadi-jadi pula,” katanya kepada BH Online.

Sementara itu, bercakap mengenai imejnya yang semakin menjadi bualan ramai, Aisyah berkata, beliau gemar membuat eksperimen sendiri dalam penggayaan harian.

Dalam pada itu, beliau juga gemar mengubah rambut dengan pelbagai warna yang dirasakan sesuai dengannya.

“Saya seorang yang suka berkarya dalam pemakaian harian atau kata orang, ‘mix and match’.

“Begitu juga dengan rambut, saya suka mencuba pelbagai warna mengikut gerak hati. Apabila menjadi diri sendiri, saya lebih yakin dan secara tak langsung sebenarnya masyarakat lebih mudah menerima kita,” tuturnya.

Dalam perkembangan lain, Aisyah bakal muncul dengan lagu duet terbaru bersama penyanyi Indonesia, Rizky Febian, berjudul Indah Pada Waktunya.-Bharian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Do NOT follow this link or you will be banned from the site!