Tun M Umum Berdamai, Tapi Masih Percaya Anwar Peliwat

KUALA LUMPUR: “Saya sudah berdamai,” kata bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad menamatkan persengketaan dengan bekas pembantunya, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang berlarutan lebih 18 tahun sejak 1998.

 

 

Laporan dari lidah rasmi pembangkang, Malaysiakini hari ini menyatakan pengasas Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) merasakan dirinya tidak senang dengan persengketaan yang berpanjangan antara kedua-dua bekas ahli UMNO itu.

 

 

Walaubagaimanapun, Dr Mahathir dilihat masih percaya Anwar tetap bersalah dalam kes meliwat bekas pemandu keluarganya pada 1998, Azizan Abu Bakar.

 

 

“Polis kata mereka ada bukti, itu urusan mereka untuk putuskan (dakwa Anwar di mahakamah),” katanya dipetik Malaysiakini.

 

 

Kes Sodomi I (kes liwat Anwar ke atas Azizan) menjadi titik tolak kepada pemecatan Anwar dari UMNO sekaligus dari jawatan Timbalan Presiden UMNO, Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan.

 

 

Dr Mahathir ketika itu menganggap perbuatan keji Anwar itu tidak melayakkan bekas Ahli Parlimen Permatang Pauh itu meneraju negara lantas menghumbannya ke penjara.

 

 

Insiden itu menjadi titik perubahan besar kepada UMNO apabila kumpulan Anwarinas secara beramai-ramai keluar dari UMNO dan membentuk KeAdilan (kini dikenali Parti Keadilan Rakyat – PKR) seterusnya melancarkan gerakan reformasi untuk menggulingkan kerajaan Barisan Nasional (BN) sehingga kini.

 

 

Ketika diminta mengulas mengenai kes Sodomi II melibatkan Anwar dan bekas pembantu peribadinya, Saiful Bukhari Azlan, Dr Mahathir hanya memberi komen “saya tidak tahu”.

 

 

“Saya tidak tahu, ia berlaku selepas saya letak jawatan,” ujarnya.

 

 

Dr Mahathir melepaskan jawatan pada 2003 dan menyerahkan tugas Perdana Menteri kepada Tun Abdullah Ahmad Badawi (Pak Lah) sebelum diteraju Datuk Seri Najib Tun Razak pada 2009.

 

 

Sewaktu pemerintahan Pak Lah, Dr Mahathir kerap kali mencampuri urusan pentadbiran negara, dan meminta Perdana Menteri ketika itu mengikut haluan yang ditetapkannya.

 

 

Walaubagaimanapun Pak Lah berpendirian untuk mentadbir negara mengikut acuan tersendiri menyebabkan Dr Mahathir bertindak keluar dari UMNO seterusnya melancarkan serangan terhadap BN.

 

 

Akibatnya, pada Pilihan Raya Umum (PRU) 2008, jumlah kerusi dimenangi BN turun mendadak akibat dirampas pembangkang.

 

 

Dr Mahathir kemudiannya menyertai UMNO kembali selepas Najib mengambil alih jawatan Presiden UMNO serta Perdana Menteri Malaysia ke-6 pada 2009.

 

 

Namun, setelah mendapati ‘pengganti’ Pak Lah itu juga tidak menepati ‘kriteria’ yang dimahukannya, Dr Mahathir sekali lagi keluar dari UMNO dan melancarkan serangan terhadap UMNO dan BN menggunakan isu-isu seperti 1Malaysia Development Berhad (1MDB), ekonomi negara dan beberapa isu lain lagi.

 

 

Dr Mahathir kini menubuhkan PPBM yang merupakan gandingan bersama Tan Sri Muhyiddin Yassin (Presiden) serta Datuk Seri Mukhriz Mahathir (Naib Presiden) bergabung dengan pembangkang berhasrat untuk menawan Putrajaya pada PRU14 kelak.-MD

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.