Remaja Saudi Dipenjara Selepas Bermesra Dengan Gadis California Di Internet

KAHERAH – Pihak berkuasa Arab Saudi menahan seorang remaja tempatan bulan lalu kerana “bersikap tidak beretika” selepas didapati “menggoda” wanita dari California yang dikenali menerusi Internet, lapor The Washington Post.

 

Perbuatan Abu Sin, 19, yang berkomunikasi, berbual dan bermesra secara atas talian dengan wanita yang beribu batu jauh dari tempat tinggalnya, dikatakan melanggar undang-undang jenayah siber.

 

Undang-undang itu melarang bahan tidak bermoral dan melanggar nilai agama dilakukan dalam negara itu.

 

Akhbar itu melaporkan, Abu Sin berkenalan dengan Christina Crockett, 21, menerusi laman YouNow, satu forum komuniti atas talian yang membolehkan orang ramai berbual secara terbuka.

 

Remaja itu tidak fasih berbahasa Inggeris sementara Christina pula tidak boleh berbahasa Arab, tetapi selama beberapa minggu mereka berbual dan perbualan itu menarik perhatian ratusan penonton di laman berkenaan, dari Arab Saudi dan seluruh dunia.

 

Dalam satu video perbualan mereka, Abu Sin berkata: “Christina, saya sayang awak” dalam bahasa Inggeris yang tidak sempurna tetapi Christina membalasnya sambil tersenyum dan berkata sayang kepada Abu Sin.

 

Akhbar itu melaporkan, Abu Sin secara bergurau melamarnya dan Christina berkata dia mahu mengahwininya.

 

Bagaimanapun, semuanya berakhir selepas pihak berkuasa Arab Saudi mendapat tahu cinta siber pasangan itu.

 

Arab Saudi sebagai negara konservatif Islam Sunni mengenakan sekatan tegas dalam mengasingkan lelaki dan perempuan di tempat awam dan semua wanita perlu menutup tubuh badan dengan abaya hitam, dari atas kepala hingga kaki.

 

The Washington Post melaporkan keadaan itu menyebabkan ramai belia Arab Saudi beralih kepada jaringan media sosial untuk menjalinkan hubungan.

 

Tetapi, pada masa sama polis agama turut mengikut rapat, memantau forum atas talian. – Fmt

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.