Palestin Minta FIFA Haramkan Enam Kelab Bola Sepak Israel

RAMALLAH – Pihak berkuasa Palestin semalam meminta Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) campur tangan membatalkan enam kelab bola sepak Israel yang beroperasi di penempatan Tebing Barat yang diduduki secara haram oleh regim berkenaan.

 

Jawatankuasa Eksekutif FIFA dijangka mengadakan mesyuarat khas mengenai kes berkenaan Khamis dan Jumaat ini selepas aduan berkenaan diterima secara rasmi.

 

Dalam surat rasmi kepada Presiden FIFA, Gianni Infantino, Persatuan Bola Sepak Palestin meminta FIFA mengarahkan Persatuan Bola Sepak Israel membatalkan kelab berkenaan atau memaksa mereka pindah ke wilayah Israel seperti termaktub dalam perjanjian mengenai sempadan negara bermusuh itu.

 

Surat berkenaan juga menegaskan betapa FIFA gagal menguatkuasakan polisnya sendiri khususnya perkara yang berkaitan dengan ‘tindakan tidak bermoral dan beretika dengan membenarkan persatuan beroperasi di wilayah yang ditakluki yang jelas dilarang oleh undang-undang antarabangsa.

 

Israel merampas Tebing Barat selepas tamat Perang Enam Hari pada 1967 meskipun tidak direstui masyarakat antarabangsa. Pihak berkuasa Palestin sudah lama membantah penyertaan kelab berkenaan dalam liga Israel membabitkan perlawanan kelab divisyen tiga, empat dan lima liga berkenaan.

 

Minggu lalu, Infantino memberitahu AFP bahawa isu berkenaan menjadi keutamaannya dan FIFA akan cuba mengecualikan hal politik dalam kes berkenaan sebaliknya hanya mengutamakan isu sebenar bola sepak sambil mencari jalan penyelesaian terbaik meningkatkan bola sepak di wilayah berkenaan.

 

Badan hak asasi manusia bulan lalu membidas FIFA dengan mendakwa badan induk bola sepak berkenaan telah mencemar imej baik sukan bola sepak dengan mengizinkan sukan berkenaan dijalankan di tanah yang dirampas secara haram.

 

Persatuan Bola Sepak Israel mendakwa isu bola sepak sudah diheret menjadi kes politik, tetapi yakin FIFA akan bertindak sewajarnya membetulkan keadaan rumit berkenaan. – AFP

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.