Pakatan Pembangkang Serah Kepada Tun M Pujuk Pas

Pakatan pembangkang masih mempunyai ruang waktu untuk memujuk Pas agar bersama mereka menentang Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU 14) akan datang, kata Timbalan Presiden Parti Amanah Negara (PAN), Salahuddin Ayub.

 

Beliau berkata demikian bagi merujuk hasrat Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Tun Dr Mahathir Mohamad agar terus memujuk Pas bersama parti politik pembangkang supaya melawan BN pada PRU 14.

 

“Kita masih punya waktu untuk buktikan kepada rakyat bahawa kita telah berusaha bersungguh-sungguh untuk memujuk Pas.

 

“Ini sangat penting supaya rakyat faham dengan jelas di kemudian hari, parti manakah yang sebenarnya merosakkan segala impian dan harapan untuk menolak BN,” katanya dalam kenyataan kepada media di sini, semalam, petik MG.

 

Ujarnya, beliau dan PAN mengalu-alukan hasrat itu dan berharap usaha Dr. Mahathir beroleh kejayaan.

 

Tambahnya, sikap degil Pas yang membuat keputusan untuk bersendirian dalam blok ketiga yang dibentuk bersama Parti Ikatan Bangsa Malaysia (Ikatan) dan Berjasa boleh menyebabkan usaha pakatan pembangkang menjatuhkan BN terbantut.

 

Menurut usaha itu penting agar tidak berlaku pertandingan tiga penjuru antara calon dari pakatan pembangkang dengan Pas dan BN.

 

Tegas Salahuddin, walaupun pintu rundingan sentiasa terbuka, tetapi batas waktu perundingan mesti ditentukan supaya segala keputusan dan penentuan hala tuju pembangkang dapat dimuktamadkan segera.

 

“Kekuatan sedia ada iaitu Pakatan Harapan (PH) dan PPBM yang telah dibina dan mula mendapat keyakinan rakyat mesti diperkukuhkan lagi sebagai asas untuk membina permuafakatan politik yang lebih besar.

 

“Saya yakin dan percaya rakyat telah terdidik dan mempunyai maklumat cukup untuk memberikan sokongan kepada parti-parti politik yang jelas menzahirkan pendirian mereka untuk menentang kezaliman BN,” katanya.

 

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.