Noh Omar Sifatkan Azmin Pekak, Buta Tadbir Selangor

Datuk Seri Azmin Ali disifatkan sebagai seorang yang pekak dan buta dalam mentadbir Selangor, kata Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Selangor, Tan Sri Noh Omar.

 

 

Beliau berkata, tindakan Azmin itu membuatkan menteri besar itu layak disifatkan seperti itu.

 

 

“Saya tak faham bagaimana dia boleh kata dalam ceramahnya duit yang dikumpul untuk Selangor kini melimpah ruah tetapi dia tidak tahu bagaimana hendak menggunakannya. Adakah dia pekak atau buta matanya?

 

 

“Malah dia mengaku terpaksa meminta bantuan bekas Perdana Menteri, Tun Mahathir Mohamad untuk mengajarnya menbelanjakan wang kerajaan negeri yang telah dikumpulnya.

 

 

“Kalau duit dah terlalu banyak sampai boleh dicanang sana sini, turunlah ke padang dan tinjau permasalahan rakyat dan bantulah yang mana patut,” katanya pada sidang media di Subang, petik MG.

 

 

Tambahnya, Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu hanya pandai bercakap tetapi semuanya kosong semata-mata.

 

 

“Azmin sebagai Menteri Besar sepatutnya memberi tumpuan kepada rakyat tetapi apa yang berlaku, dia berkempen untuk partinya dengan berjalan ke seluruh negara.

 

 

“Sekarang ni makinlah rancak dan saya pun tak tahu bila masanya dia dapat bertemu rakyat Selangor kerana dia banyak menghabiskan masa di negeri-negeri lain,” ujarnya.

 

 

Noh berkata, Azmin bijak mengaburi mata dan minda rakyat sehingga membuatkan rakyat tertipu dengan pelbagai janji manis semata-mata demi menyelamatkan karier politiknya.

 

 

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.