MAS Kerjasama Dengan Liverpool FC

Malaysia Airlines Bhd. (MAB) memeterai perjanjian dengan kelab bola sepak Liverpool untuk menjadi rakan kongsi penerbangan global rasmi kelab tersebut.

 

 

Ketua Pegawai Eksekutif MAB, Peter Bellew berkata, di bawah perjanjian tersebut MAB akan mendapat pelbagai manfaat sebagai rakan penerbangan eksklusif kelab berkenaan termasuk paparan jenama Malaysia Airlines di LED dan papan statik di setiap perlawanan di stadium Anfield, selain paparan di laman web rasmi, penerbitan dan Facebook Liverpool.

 

 

Selain itu, Malaysia Airlines juga mendapat peluang di dalam memaparkan jenamanya di barangan rasmi Liverpool selain memberikan pengalaman berharga kepada penumpang-penumpang syarikat penerbangan itu menikmati pengalaman memasuk kawasan ‘pitch’ serta bertemu pemain dan lagenda kelab ternama Eropah itu.

 

 

“Kami membelanjakan 10 peratus daripada peruntukan iklan dan promosi kami kepada kerjasama ini. Kerjasama ini akan terjalin selama tiga tahun dan kami akan memberi pertimbangan semula sekiranya ia memberi pulangan seperti yang diharapkan,” katanya semasa sidang media selepas majlis pengumuman pemeteraian kerjasama berkenaan di sini hari ini.

 

 

Yang turut hadir Ketua Pegawai Komersial Liverpool FC, Billy Hogan.

 

 

Menurut Peter, juara lapan kali League Cup merupakan sebuah pasukan bola sepak yang mempunyai kelab penyokong terbaik di dunia.

 

 

Ini sekali gus membuka ruang kepada Malaysia Airlines untuk mendekati lebih satu bilion penonton antarabangsa mengenali syarikat penerbangan nasional itu, terutamanya China, yang mana Liverpool mempunyai kira-kira 40 juta peminat.

 

 

“Liverpool FC adalah salah sebuah kelab yang mempunyai pengikut yang ramai iaitu sekitar 100 juta di Asia Tenggara dan 40 juta di China yang juga merupakan pasaran utama bagi Malaysia Airlines.

 

 

Justeru, kerjasama ini juga bakal membuka ruang kepada masyarakat luar untuk mengenali Malaysia sebagai sebuah destinasi pelancongan,” katanya yang mengakui adalah penyokong kelab bola sepak Chelsea.

 

 

Peter bagaimanapun sebelum ini pernah tinggal di Liverpool selama empat tahun dan menyifatkan ia sebuah bandar yang sangat cantik dan mempunyai kelab bola sepak yang hebat.

 

 

Bagi meraikan pengumuman istimewa ini, Malaysia Airlines menawarkan tiket penerbangan pergi-balik Kuala Lumpur- London pada harga bermula RM2,499 atau GBP399 termasuk cukai untuk kelas ekonomi.

 

 

Jualan bermula hari ini sehingga 17 Oktober 2016 bagi penerbangan bermula 13 Oktober sehingga 31 Mac 2017.

 

 

Promosi ini turut melibatkan tiket penerbangan China-London pada harga CNY4,657 termasuk cukai.-MG

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.