Bersih Kini Jadi `Sayap’ Pakatan Harapan

 

Bersih, kini menjadi anggota keempat Pakatan Harapan, demikian kata penganalisis politik, Raja Petra Kamarudin yang melihat gabungan berkenaan sebagai telah lari daripada matlamat asal penubuhannya pada 2007.

 

Menurut Raja Petra, Bersih sepatutnya mengenai pilihan raya yang adil dan telus dengan pengundi bebas memilih parti apa yang mereka ingin undi, tidak semestinya parti pembangkang sahaja malah mereka boleh mengundi Barisan Nasional (BN) jika mereka mahu.

 

Malangnya keadaan itu tidak berlaku.

 

“Inilah masalahnya dengan Bersih. Jika mereka meluangkan lebih banyak masa dengan tugas yang diberikan berbanding menyertai rali Bebaskan Anwar dan demonstrasi Anti-Najib, ia tentunya tidak akan berlaku.

 

“Bersih kini sudah kalah,” katanya yang menulis dalam blognya, Malaysia Today.

 

Sepatutnya kata Raja Petra, Bersih membina hubungan dengan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) tetapi sebaliknya.

 

“Bukan ini matlamat kita pada tahun 2007 apabila Bersih ditubuhkan. Pada 2007, kedua-dua belah pihak yang berbeza politik, malah dari Umno, menyokong Bersih. Sekarang ramai yang membenci baju kuning dan melihatnya sebagai satu lagi sayap Pakatan Harapan,” katanya.

 

Bersih akan menganjurkan Bersih 5 pada 19 November ini dengan salah satu matlamatnya, seperti yang diketahui ramai  adalah untuk mendesak pengunduran Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak di luar proses demokrasi. Setakat ini empat siri himpunan Bersih telah diadakan namun gagal menjatuhkan kerajaan.

 

Pada himpunan Bersih 4 lalu, ia turut disertai oleh bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad selama dua hari berturut-turut namun ia gagal memberikan impak malah gagal mendapat sokongan masyarakat Melayu.

 

PAS tidak menyertainya dan pada Bersih 5 ini, ia sekali lagi menyatakan tidak akan menyertai perhimpunan terbabit.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.