Bekas Wartawan Anak Jati P. Pinang Jadi Datuk Bandar Di New Zealand

KUALA LUMPUR – Anak jati Pulau Pinang, K Gurunathan dipilih sebagai Datuk Bandar Daerah Kapiti Coast di Wellington, New Zealand selepas meraih 8,911 undi bagi menewaskan lima calon lain, termasuk penyandang.

 

Mesra dengan panggilan Guru, beliau menewaskan penyandang jawatan itu, Ross Church dengan majoriti 2,300 undi, sekali gus layak bertugas bagi tempoh satu penggal, bermula tahun ini sehingga 2019.

 

Menurut laman web Majlis Daerah Kapiti Coast, Church sekadar memperoleh 6,611 undi yang disifatkan oleh media sebagai keputusan mengejut.

 

Guru, 63, yang pernah tewas kepada Church pada 2013, adalah Datuk Bandar ‘etnik’ pertama Kapiti.

 

Beliau pernah bertugas dengan media Malaysia, bermula sebagai ketua wartawan di The National Echo pada tahun 1983 yang berpangkalan di Pulau Pinang sebelum menjadi penyunting berita di The Rocket dan kemudian menyumbang artikel politik di akhbar New Straits Times.

 

Guru juga pernah bertugas sebagai editor bersama akhbar The Sun sebelum berhijrah ke Wellington pada 1995 bersama isterinya yang juga warga New Zealand, Claire dan dua anak mereka.

 

“Mesej utama dalam kempen saya adalah untuk menjadikan Kapiti sebuah daerah yang terbuka, telus dan bertanggungjawab. Migran dan minoriti bukan satu isu walaupun ada sebahagian daripada pengundi berkata, saya tidak boleh menang jawatan itu,” katanya.

 

Guru berkata, kemenangan itu juga disebabkan oleh rekodnya sebagai ahli majlis pihak berkuasa tempatan selama dua penggal sejak 2010.

 

“New Zealand sedang mengalami perubahan, terutama di kawasan bandar seperti Auckland yang mana demografik terus berubah dengan ketara disebabkan pendatang baharu, sekali gus memberi peluang kepada perwakilan politik,” katanya.

 

Katanya, selain kepercayaan masyarakat, sokongan keluarga juga adalah penting. “Berkahwin dengan warga New Zealand juga mungkin banyak membantu. Jessie mengambil iklan halaman penuh di bawah tajuk ‘Surat dari Tokyo’ yang diterima dengan baik,” katanya. – BH

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.