Ahli Parlimen DAP Pertikai Aplikasi Aduan Khalwat JAIS

KUALA LUMPUR — Aplikasi aduan maksiat melalui telefon yang disediakan Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) dikhuatiri menggalakkan tindakan mengintip orang, kata seorang ahli parlimen DAP.

 

Zairil Khir Johari bagaimanapun memuji langkah jabatan agama itu menyediakan kemudahan atas talian untuk umat Islam mengetahui perundangan agama, ceramah dan lokasi masjid.

 

Wakil rakyat Bukit Bendera hanya mempertikaikan bahagian aduan dalam aplikasi tersebut — diperkenalkan minggu lalu — yang membolehkan orang ramai melaporkan khalwat.

 

“Berkenaan isu melaporkan aktiviti khalwat, adalah dikhuatiri perbuatan ini akan menggalakkan perbuatan kemungkaran yang lain, iaitu tajassus (mengintip aib orang lain) yang turut dibenci oleh Allah dan rasul-Nya,” katanya.

 

Merujuk garis panduan operasi tangkap khalwat di Perlis, Zairil berkata saksi yang menyalurkan maklumat melalui cara tajassus juga tidak boleh diterima kerana mereka dianggap fasik.

 

“Jika pemberi maklumat melakukan tajassus, maka dia fasik dan pemberitahuan orang fasik adalah ditolak,” katanya lagi.

 

“Dalam erti kata lain, maklumat tidak boleh diperolehi daripada perbuatan tajassus.” – MalayMail

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.