Teks Ucapan Penuh Bajet 2015

Berikut ialah teks ucapan penuh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak ketika membentangkan Bajet 2015 di Dewan Rakyat di Kuala Lumpur :

Tuan Yang Dipertua,

Saya mohon mencadangkan supaya Rang Undang-undang bertajuk “Suatu Akta bagi menggunakan sejumlah wang daripada Kumpulan Wang Disatukan untuk perkhidmatan bagi tahun 2015 dan bagi memperuntukkan wang itu untuk perkhidmatan bagi tahun itu” dibaca bagi kali kedua.

Mukadimah
Tuan Yang Dipertua,

Dengan lafaz Bismillahhirahmanirrahim, Alhamdulillahi Rabbil A’lamin, Wabihi Nastai’n. Diiring pula selawat serta salam ke atas Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW. Marilah bersama berdoa, dan yang beragama Islam, menadah kedua-dua tangan setingginya, pohon limpah keberkatan juga inayah-Nya, bagi saya membentang sebuah dokumen penting, yakni Bajet 2015 agar dapat didengar dan dihadami sebaiknya oleh Sidang Dewan dan Rakyat Malaysia seluruhnya.

Sebelum meneruskan pembentangan, saya bagi mewakili pihak kerajaan mengucapkan takziah atas kembalinya ke-Rahmatullah Allahyarham Tun Hajah Suhaila Binti Tan Sri Mohammad Noah yang merupakan isteri kepada perdana menteri ketiga. Semoga rohnya diletakkan di kalangan para solihin dan solihat.

Saya turut ingin mengambil kesempatan pada petang Jumaat penuh barakah, penghulu segala hari, mengucapkan selamat kembali ke tanah air kepada YAB Timbalan Perdana Menteri beserta para hujjaj lain, yang selesai menunaikan fardhu haji. Moga-moga beruntunglah di atas kurniaan Haji Akbar yang Mabrur hendaknya.

Tuan Yang Dipertua,

Secara sedar ataupun tidak, sepanjang hampir 60 tahun merdeka, kita merencana pelbagai rancangan jangka pendek, sederhana dan panjang dalam usaha memakmurkan negara. Hakikatnya, pelaksanaan serta pembangunan ekonomi melalui segala macam strategi yang disusun kemas lagi sistematik. Jika tidak, mana mungkin Malaysia sampai pada tahap yang ada pada hari ini.

Cumanya, ramai yang tidak begitu sedar bahawa proses ini bukanlah satu kerja yang mudah, apatah lagi terjadi dengan semena-mena. Suka atau tidak suka, dalam tempoh yang bukan sekejap, ia menagih ikhtiar-ikhtiar yang cukup banyak, meliputi rencana-rencana yang menyeluruh, dengan segala jerih payah, kepahitan, terutamanya apabila wajarnya diambil ketetapan-ketetapan dan keputusan-keputusan yang tidak popular. Namun, semuanya itu, perlu diperbuat dan diperlakukan oleh pihak Kerajaan yang berlanggungjawab dan berakauntabiliti, demi mendahulukan kepentingan rakyat sejak dulu, kini dan selamanya.

Tuan Yang Dipertua,

Dari perspektif ekonomi, ketika mana meraih kemerdekaan 57 tahun lalu, kita membina negara ini berlandaskan pertanian. Kemudiannya, kita menuju negara perindustrian moden. Selanjutnya, kita melalui fasa negara berpendapatan sederhana tinggi. Sekarang ini pula, kita sedang melangkah ke arah ekonomi berasaskan perkhidmatan dan pengetahuan.

Bila disimpulkan, objektif, prinsip dan teras kepada 3 Rangka Rancangan Jangka Panjang, kesepuluh-sepuluh Rancangan Malaysia, Dasar Ekonomi Baru, Dasar Pembangunan Nasional, Dasar Wawasan Negara dan sejak 2010 Dasar Transformasi Nasional, kesemuanya berkisar tentang pembasmian kemiskinan, peningkatan pendapatan, penyusunan semula masyarakat, sehingga tercapai matlamat sosio-ekonomi, mempelbagaikan ekonomi berteraskan komoditi, pembangunan modal insan, meningkatkan daya saing sektor awam dan swasta, rantaian nilai lebih tinggi, pembangunan secara inklusif dan transformasi Kerajaan, ekonomi, sosial
serta politik.

Ternyata, bapa-bapa pimpinan terdahulu dengan bijaksana, menjalankan kewajiban masing-masing membentuk Malaysia menurut acuan tersendiri. Dimulai perjuangan oleh Tunku Abdul Rahman, diikuti oleh Tun Abdul Razak yang melaksanakan pembangunan dan menyusun semula struktur sosial masyarakat, Tun Hussein mengekalkan keamanan dan perpaduan, Tun Mahathir memodenkan negara, manakala Tun Abdullah pula menekankan aspek pembangunan modal insan.

Tuan Yang Dipertua,

Seterusnya, kerajaan yang ada hari ini, terus komited memacu pertumbuhan negara dengan tasawwur yang lebih luas bagi meletakkan Malaysia di jajaran kukuh dari semasa ke semasa.

Jelasnya, jika dicongak, pembentangan Bajet, petang ini, adalah yang keenam sejak saya mengambil alih pentadbiran, dan juga adalah bajet negara kali yang ke-56. Sesungguhnya jua, Bajet 2015 ini, menjadi bingkisan pelengkap kepada 10 Rancangan Malaysia.

Strategi Pembangunan Nasional Malaysia atau Malaysian National Development Strategy

Selanjutnya, pada Mei 2015 nanti, bermulalah jendela Rancangan Malaysia kesebelas. Serentak itu, satu pendekatan baharu sedang digariskan yang dikenali sebagai Strategi Pembangunan Nasional Malaysia atau Malaysian National Development Strategy atau MyNDS.

MyNDS akan menjadi antara formula kepada perancangan dan penyediaan program serta projek di bawah Rancangan Malaysia Ke-11. Ia akan menggunakan sumber yang terhad secara optimum, yakni menumpukan kepada projek dan program berimpak tinggi, kos yang rendah serta pelaksanaan secara cekap dan pantas. Ertinya, Bajet 2016 kelak, akan menjadi pemula kepada pelonjak akhir memacu separuh dekad Malaysia dalam menuju status, dengan izin – High Income Advanced Economy menjelang 2020.

Merujuk kepada perjalanan negara-negara yang lain seperti Korea, Jerman, Jepun, Taiwan mahupun China, di mana kebanyakannya bermula dengan asas pertanian sebagai ekonomi mereka dan kini beralih kepada asas ekonomi yang mengutamakan pengetahuan, kemahiran, inovasi dan kepakaran yang tinggi.

Jika dapat diterangkan dengan bahasa yang mudah, perancangan dan instrumen ekonomi kepada sesebuah negara perlu disesuaikan mengikut musim dan peredaran masa serta tuntutan domestik dan global. Justeru, untuk terus kekal relevan Malaysia sewajibnya bergerak dengan ekonomi berasaskan pengetahuan, kemahiran tinggi, kepakaran, kreativiti dan inovasi.

Tuan Yang Dipertua,

Sememangnya, dari sudut ekonomi, sesebuah negara yang pesat membangun, tidak boleh lari daripada menjana kekayaan menerusi aktiviti capital economy. Namun demikian, dari sudut kesejahteraan rakyat, kita mendengar keluh kesah, sungutan dan rungutan orang ramai. Mereka bertanya melalui komen-komen blog, surat-surat yang diterima, mesyuarat, temu bual, sesi dialog dan wacana semasa akan persoalan bahawa angka berjuta-juta, peruntukan berbilion-bilion dan pelbagai projek mega, apakah manfaatnya kepada rakyat terbanyak?

Bak kata orang kampung saya di Pekan, maaf bercakap, rasanya perkara-perkara dokumen bajet begini, serta apa yang disebut seperti jauuuuuuh… dan tidak ada kena mengena dengan pakcik, makcik, kawan-kawan bukan sahaja di luar bandar malahan juga di bandar.

Tuan Yang Dipertua,

Sesungguhnya, inilah cabaran terbesar dalam mentadbir Negara seistimewa Malaysia dengan kerencaman masyarakat. Saya selaku Perdana Menteri sehingga petang semalam ketika bertemu para wartawan diajukan soalan apakah hal yang paling sukar untuk diputuskan? Saya menjawab… yakni bagaimana kita hendak mengimbangi antara polisi yang populist in nature as compared to those policies based on economic and financial imperatives.

Sejelasnya, Kerajaan yang ada hari ini berpegang teguh kepada prinsip bahawa usaha memantap tadbir urus fiskal seperti mengurangkan defisit fiskal adalah satu tanggungjawab moral generasi kita untuk generasi pewaris masa hadapan. Pokoknya, kita tidak mahu mewariskan Malaysia dengan kewangan Persekutuan yang terbeban dengan masalah hutang.

Tuan Yang Dipertua,

Capital Economy dan People Economy

Lantaran demikian, mengambil kira dan memahami denyut nadi rakyat serta realiti kehidupan, sebagai Ketua Kerajaan, saya mahukan falsafah tunjang kepada pembikinan bajet tahun ini mestilah menitikberatkan keseimbangan antara capital economy dan people economy.

Bila kita membicarakan istilah Capital Economy, ia merujuk kepada pengurusan dan dasar-dasar ekonomi yang berbentuk makro. Ini memudahkan sesebuah negara mengunjurkan sasaran-sasaran utamanya berbanding negara lain. Antaranya, ia merujuk kepada pengurusan ekonomi yang berasaskan modal, pertumbuhan KDNK, pendapatan per kapita, pelaburan swasta, pasaran modal, keuntungan syarikat, penarafan ekonomi dan kredit, indeks Bursa dan nilai saham.

Tuan Yang Dipertua, sesudah ini saya akan menyebutnya sebagai Capital Economy.

Manakala apabila kita mengupas dan menakrif istilah People Economy, ia merupakan ekonomi yang berorientasikan rakyat meliputi keutamaan-keutamaan dan kepentingan-kepentingan rakyat seperti kos sara hidup, pendapatan isi rumah, peluang pendidikan, pekerjaan dan perniagaan, kualiti hidup, perumahan, latihan, kemahiran, keusahawanan dan keselamatan, yakni aman dari jenayah. Ringkasnya, ia merupakan ekonomi yang berlandaskan pengalaman seharian rakyat. Sesudah ini saya akan menyebutnya sebagai Ekonomi Keperluan Rakyat atau EKR.

Tuan Yang Dipertua,

Ekonomi Keperluan Rakyat

Memang benar, dari sudut teori dan ilmiahnya, capital economy dan people economy tidak dapat dipisahkan dan wujud secara simbiosis antara satu dengan yang lain. Walau apapun, ingin saya tegaskan dalam bajet ini, Ekonomi Keperluan Rakyat menjadi paksi dan pegangan dalam mendahulukan kepentingan rakyat. Barulah nanti apabila kita mencapai status negara maju, nikmat kekayaan dan kemakmuran sebenar negara akan melimpah ke kaki-kaki halaman serta mengetuk pintu-pintu rumah setiap rakyat di negara ini, Insya-Allah.

Tuan Yang Dipertua,

Prestasi dan prospek ekonomi

Bermula 3 April 2009, se lebih 5 tahun, saya memegang pucuk pimpinan sebagai Perdana Menteri, diperkenalkan gagasan 1Malaysia, Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan, berlandaskan Dasar Transformasi Nasional atau DTN. Ia merangkumkan Program Transformasi Kerajaan atau GTP, Program Transformasi Ekonomi atau ETP, Program Transformasi Politik atau PTP, Program Transformasi Komuniti atau CTP, Program Transformasi Sosial atau STP dan Program Transformasi Fiskal atau FTP dalam usaha kita mencapai matlamat negara ekonomi maju berpendapatan tinggi. ETP mensasarkan peningkatan Pendapatan Negara Kasar Per Kapita Malaysia kepada AS$15,000 dan memperoleh AS$444 bilion dalam pelaburan menjelang 2020.

Sejak 2009 juga, secara kumulatifnya, sebanyak 196 projek daripada 12 NKEA dan 6 SRI dilaksanakan. Jumlah pelaburan pula mencecah RM219 bilion dan lebih 437,000 peluang pekerjaan bernilai tinggi diwujudkan.

Mutakhir ini, ekonomi negara tumbuh dengan positif dalam semua sektor dan mencatatkan KDNK sebanyak 6.3%. Alhamdulillah, kita merafak syukur kepada Yang Maha Kuasa, kerana pencapaian ini, menempatkan kita sebagai yang paling tinggi di kalangan negara ASEAN dalam tempoh separuh pertama 2014.

Tuan Yang Dipertua,

Antara tahun-tahun 2009 hingga 2014, kita mampu berasa lega dan berbangga dengan prestasi-prestasi berikut. Indeks FBM KLCI meningkat sebanyak 114% iaitu daripada 884.45 mata pada Januari 2009 kepada 1,892.65 mata pada Julai 2014. Pertumbuhan modal pasaran juga meningkat sebanyak 162% daripada RM667.87 bilion kepada RM1,749.49 bilion dicatatkan pada 7 Oktober 2014.

Pendapatan Negara Kasar Per Kapita pula menunjukkan peningkatan sebanyak 50% iaitu daripada AS$6,700 kepada AS$10,060 dalam tempoh 5 tahun ini. Insya-Allah, saya yakin pada tahun ini kita akan mencapai pertumbuhan ekonomi negara yang kukuh pada kadar 5.5% hingga 6%.

Kadar defisit fiskal negara juga semakin bertambah baik. Kita dapat menurunkan kadar defisit daripada 6.7% pada 2009 kepada 3.9% pada 2013 dan dijangka terus menurun kepada 3.5% pada tahun ini.

Bagi 2015 pula, pertumbuhan ekonomi dijangka kekal kukuh pada kadar 5 hingga 6%, manakala defisit fiskal dijangka berkurangan kepada 3%.

Tuan Yang Dipertua,

Berhubung itu, sukalah saya memaklumkan di sini, kita juga memecah beberapa rekod pencapaian antaranya:

Pertama: Indeks Bursa Malaysia mencatat paras 1,892.65 mata pada Julai 2014, menjadikannya paras tertinggi dalam sejarah negara; dan

Kedua: Kemasukan pelabur asing sebanyak RM38.7 bilion pada tahun 2013, juga merupakan catatan tertinggi actual realized investments yang pernah dicapai dalam sejarah Negara.

Peruntukan Bajet 2015

Tuan Yang Dipertua,

Bajet 2015 memperuntukkan sejumlah RM273.9 bilion iaitu peningkatan sebanyak RM9.8 bilion berbanding peruntukan asal 2014. Daripadanya, RM223.4 bilion bagi perbelanjaan mengurus dan RM50.5 bilion sebagai perbelanjaan pembangunan.

Di bawah peruntukan mengurus, RM65.6 bilion adalah untuk Emolumen, dan RM38.1 bilion untuk Perkhidmatan dan Bekalan. Agihan terbesar sebanyak RM116.4 bilion adalah untuk Pemberian dan Kenaan Bayaran Tetap. Pembelian Aset pula diperuntukkan sebanyak RM1.5 bilion dan RM1.8 bilion untuk perbelanjaan lain.

Di bawah peruntukan pembangunan, sektor ekonomi menerima agihan tertinggi sebanyak RM29.3 bilion, diikuti oleh sektor sosial RM12.6 bilion merangkumi pendidikan dan latihan, kesihatan, perumahan serta kesejahteraan masyarakat. Sektor keselamatan pula diperuntukkan sebanyak RM4.9 bilion. Selebihnya, diagihkan kepada sektor pentadbiran am iaitu sebanyak RM1.7 bilion dan simpanan luar jangka sebanyak RM2 bilion.

Pada tahun 2015, kutipan hasil Kerajaan Persekutuan diunjurkan sebanyak RM235.2 bilion, yakni peningkatan sebanyak RM10.2 bilion berbanding 2014.

Tuan Yang Dipertua,

Khususnya pada tahun 2015, dengan pelaksanaan GST, hasil kutipan dianggarkan berjumlah sebanyak RM23.2 bilion. Walau bagaimanapun, sebagai kerajaan yang prihatin, kita mengecualikan sebilangan barangan yang keseluruhannya dianggarkan RM3.8 bilion.

Harus diketahui, bahawa dengan pelaksanaan GST ini, maka Cukai Jualan dan Perkhidmatan atau SST, dimansuhkan yang menyebabkan kehilangan hasil kerajaan sebanyak RM13.8 bilion. Ertinya, bila ditolak RM13.8 bilion dan RM3.8 bilion daripada kutipan RM23.2 bilion itu, baki yang ada, berjumlah RM5.6 bilion.

Daripada jumlah tersebut, sebanyak RM4.9 bilion disalurkan kembali untuk keperluan rakyat melalui pakej-pakej bantuan, contohnya tambahan BR1M. Akhirnya, hasil bersih kutipan GST hanyalah berbaki RM690 juta.

Bajet 2015: Ekonomi keperluan rakyat

Bajet 2015 ini digubal berfokus kepada Ekonomi Keperluan Rakyat dengan menggariskan tujuh strategi utama, iaitu:

Strategi Pertama: Memperkukuh Pertumbuhan Ekonomi;
Strategi Kedua: Memantap Tadbir Urus Fiskal;
Strategi Ketiga: Mengupaya Modal lnsan dan Keusahawanan;
Strategi Keempat: Memperkasa Agenda Bumiputera;
Strategi Kelima: Memartabat Peranan Wanita;
Strategi Keenam: Membangun Program Transformasi Belia Negara;
Strategi Ketujuh: Mensejahtera Rakyat

Tuan Yang Dipertua,

Strategi pertama: Memperkukuh pertumbuhan ekonomi

Dalam hal ini, Kerajaan akan terus menyediakan ekosistem yang kondusif dan komprehensif bagi melonjak pelaburan domestik dan asing.

Tindakan Pertama: Merancakkan Sektor Perkhidmatan

Untuk makluman, pada 2013, sektor perkhidmatan menyumbang 55.2% kepada KDNK. Bagi meneapai sasaran 60% menjelang tahun 2020, kerajaan akan merancakkan sektor perkhidmatan dengan melaksanakan perkara-perkara berikut:

Pertama: Melaksana Blueprint Sektor Perkhidmatan;

Kedua: Menyediakan Skim Jaminan Sektor Perkhidmatan berjumlah 5 bilion ringgit kepada semua Perusahaan Kecil dan Sederhana yang terlibat dalam sektor perkhidmatan dengan had maksimum pembiayaan sebanyak 5 juta ringgit bersekali 70% jaminan Kerajaan. la dijangka memberi manfaat kepada 4,000 syarikat PKS;

Ketiga: Mewujudkan Research Incentive Scheme for Entreprise dengan peruntukan 10 juta ringgit untuk menggalakkan syarikat-syarikat menubuhkan pusat penyelidikan dalam bidang berteknologi tinggi, ICT dan industri berasaskan pengetahuan;

Keempat: Memperkenalkan semula Dana Perkhidmatan Eksport berjumlah 300 juta ringgit untuk menggalakkan PKS menjalankan kajian kemungkinan pasaran dan promosi eksport bagi menembusi pasaran baru; dan

Kelima: Mengukuhkan Skim Pembangunan Francais di bawah KPDNKK bersama Persatuan Francais Malaysia. Sebanyak 20 juta ringgit diperuntukkan untuk skim ini.

Tindakan ke-2: Memperkukuhkan Pasaran Kewangan Islam

Industri kewangan Islam Malaysia kini, mencakupi 25% daripada industri perbankan dari segi aset. Di peringkat antarabangsa pula, Malaysia kekal sebagai pasaran sukuk terbesar di dunia, merangkumi 60% daripada pasaran sukuk global.

Selanjutnya, Kerajaan akan memperkenalkan akaun pelaburan patuh syariah pada 2015, dikenali sebagai Investment Account Platform, atau IAP. la akan memberi peluang kepada pelabur dalam pembiayaan aktiviti keusahawanan dan pembangunan PKS yang berdaya maju. Pada masa yang sama, IAP akan menarik pelabur institusi dan individu termasuk High Net Worth Individuals dalam pasaran kewangan Islam. Dalam hal ini, dana permulaan sebanyak 150 juta ringgit akan disediakan.

Bagi menggalakkan pelaburan dalam IAP, Kerajaan mencadangkan pelabur individu diberi pengecualian cukai pendapatan ke atas keuntungan dari pelaburan yang layak selama 3 tahun berturut-turut.

Untuk merancakkan terbitan dan urusniaga pasaran sukuk dan bon tempatan pula, kerajaan memperkenalkan produk Bon dan Sukuk Dagangan Bursa atau ETBS pada Januari 2013. Makanya, Kerajaan mencadangkan supaya Sekuriti Kerajaan Malaysia dan Terbitan Pelaburan Kerajaan turut disenaraikan dan diurus niaga dalam ETBS.

Selain itu, perbelanjaan menerbitkan sukuk diberi potongan cukai mulai tahun taksiran 2003 hingga tahun taksiran 2015. Selaras dengan ini, dicadangkan potongan cukai bagi perbelanjaan menerbitkan sukuk berasaskan prinsip Ijarah dan Wakalah dilanjutkan selama 3 tahun lagi sehingga tahun taksiran 2018.

Tuan Yang Dipertua,

Tindakan ke-3: Menggalakkan Industri Perkapalan Tempatan

Akta Perkapalan Saudagar 2011 memperuntukkan keperluan mandatori insurans atau sekuriti kewangan untuk perlindungan liabiliti pihak ketiga bagi kapal yang beroperasi di Malaysia. Buat masa ini, kebanyakan pemilik kapal muatan besar di Malaysia mempunyai perlindungan liabiliti pihak ketiga melalui Protection & Indemnity, di luar negara.

Justeru, bagi membantu pemilik kapal muatan kasar 300 tan ke bawah, kerajaan akan menubuhkan Kelab P&I Malaysia, di bawah Exim Bank, pada kadar premium yang berpatutan.

Tindakan ke-4: Mempastikan pertumbuhan wilayah yang seimbang dan inklusif, dengan terus menggalakkan pelaburan di kawasan¬kawasan yang kurang membangun

Dalam konteks ini, Kerajaan akan menambah baik pakej insentif khas yang disediakan di bawah Koridor-koridor Ekonomi merangkumi lebih banyak kawasan yang kurang maju.

Tindakan ke-5: Insentif Untuk Pengurusan Kawasan Perindustrian

Kawasan-kawasan perindustrian yang mempunyai kemudahan awam atau infrastruktur yang diselenggara secara sistematik merupakan antara faktor utama yang menyokong pembangunan industri. Dalam hal ini, insentif dengan 100% pengecualian cukai pendapatan bagi tempoh lima tahun akan disediakan untuk menggalakkan pihak swasta menyelenggara dan menambah baik kawasan perindustrian di kawasan kurang membangun. Manakala insentif dengan 70% pengecualian cukai pendapalan bagi tempoh lima tahun akan disediakan kepada pihak swasta yang mengurus kawasan perindustrian di kawasan yang lain.

Tindakan ke-6: Elaun Modal Bagi Peningkatan Proses Automasi oleh Industri Berintensif Buruh

Kerajaan akan menyediakan insentif elaun modal perbelanjaan automasi untuk menggalakkan proses automasi sektor perkilangan mengikut kategori berikut:

• Kategori Pertama, iaitu untuk industri yang mempunyai kebergantungan buruh yang tinggi seperti industri produk getah, plastik, kayu, perabot dan tekstil. Insentif yang ditawarkan adalah elaun modal perbelanjaan automasi sebanyak 200% ke atas 4 juta ringgit perbelanjaan pertama. Insentif ini adalah bagi tempoh 2015 hingga 2017; dan

• Kategori Kedua iaitu untuk industri-industri yang lain. Insentif yang ditawarkan adalah elaun modal perbelanjaan automasi sebanyak 200% ke atas 2 juta ringgit perbelanjaan modal pertama. Insentif ini adalah bagi tempoh 2015 hingga 2020.

Tindakan ke-7: Pelaburan Berkualiti Tinggi

Dalam menggalakkan pelaburan berkualiti tinggi dan lebih tertumpu, pakej galakan lebih istimewa akan ditawarkan untuk projek-projek pelaburan yang berasaskan teknologi, inovasi dan pengetahuan, melibatkan pekerja berkelayakan tinggi dan berpengetahuan, dengan gaji yang tinggi.

Tuan Yang Dipertua,

Tindakan ke-8: Merancak Pelaburan Awam dan Swasta

Bagi tahun 2015, beberapa projek infrastrutur akan dilaksanakan:

Pertama: Membina Lebuh Raya Sungai Besi-Ulu Klang sepanjang 59 kilometer dengan kos pembinaan berjumlah 5.3 bilion ringgit;

Kedua: Membina Lebuh Raya Pantai Barat dari Taiping ke Banting sepanjang 276 kilometer dengan kos pembinaan berjumlah 5 bilion ringgit;

Ketiga: Membina Lebuh Raya Damansara-Shah Alam sepanjang 47 kilometer dengan kos pembinaan 4.2 bilion ringgit;

Keempat: Membina Lebuh Raya Lingkaran Luar Kuala Lumpur -Hubungan Timur sepanjang 36 kilometer dengan kos pembinaan 1.6 bilion ringgit;

Kelima: Menaik taraf landasan keretapi sektor Pantai Timur melibatkan jajaran Gemas-Mentakab, Jerantut-Sungai Yu dan Gua Musang-Tumpat dengan peruntukan 150 juta ringgit;

Keenam: Pembinaan MRT Jajaran Kedua sepanjang 56 kilometer dari Selayang ke Putrajaya, melibatkan anggaran 23 bilion ringgit; dan

Ketujuh: Manakala, Projek LRT3, yang bakal menghubungkan Bandar Utama sehingga Shah Alam dan Klang, dianggarkan 9 bilion ringgit akan dilaksanakan.

Projek Pengerang Integrated Petroleum Complex dengan nitai pelaburan 69 bilion ringgit pula yang dijangka dapat mewujudkan lebih 10,000 peluang pekerjaan.

Di samping itu, bagi membangunkan industri pembuatan kenderaan elektrik, dana pinjaman Sustainable Mobility Fund berjumlah 70 juta ringgit disediakan bawah SME Bank. Sebagai permulaan, 50 bas elektrik akan diperkenalkan.

Tuan Yang Dipertua,

Tindakan ke-9: Menggalakkan Penubuhan Hab Prinsipal

Untuk ini, Kerajaan akan terus berusaha memperbanyakkan lagi pusat operasi global syarikat multinasional di Malaysia. Sejajar dengan itu, satu insentif Hab Prinsipal yang berbentuk customised incentives akan diperkenalkan mulai awal tahun depan.

Tindakan ke-10: Merancakkan Industri Kreatif

Untuk memajukan industri kreatif seperti animasi, perfileman, seni reka, dan warisan budaya, Kerajaan memperuntukkan sebanyak RM200 juta kepada MyCreative Ventures pada tahun 2012. Lanjutan daripada ini, usaha ini diteruskan melalui Dana Industri Kandungan Digital di bawah Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia sebanyak RM100 juta.

Tindakan ke-11: Meningkatkan Keupayaan Jalur Lebar Berkelajuan Tinggi

High Speed Broad Band, di kawasan ekonomi berimpak tinggi, akan diteruskan meliputi ibu negeri dan bandar-bandar terpilih di seluruh negara. Sebanyak RM2.7 bilion akan dibelanjakan dalam tempoh tiga tahun melibatkan pembinaan seribu menara pencawang telekomunikasi baru dan pembinaan kabel dasar laut.

Tindakan ke-12: Merancak Industri Pelancongan

Sempena sambutan ‘Malaysia-Year of Festivals 2015′, kerajaan mensasarkan kedatangan pelancong asing seramai 29.4 juta orang dengan jangkaan pendapatan sebanyak RM89 bilion. Untuk tujuan ini, sebanyak RM316 juta diperuntukkan bagi pelbagai program di bawah Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia.

Tuan Yang Dipertua,

Tindakan ke-13: Membangunkan Perusahaan Kecil dan Sederhana

Kini, sumbangan PKS kepada KDNK adalah sebanyak 33% dan kita mensasarkan peningkatan kepada 41% menjelang 2020.

Maka, bagi merancakkan penglibatan PKS dalam aktiviti ekonomi, kerajaan mencadangkan pelaksanaan SME Investment Partner, di mana PKS akan diberi bantuan pembiayaan dalam bentuk pinjaman, ekuiti atau kedua-duanya, terutamanya di peringkat stan-up. Dana permulaan berjumlah RM375 juta akan disediakan untuk tempoh lima tahun, di mana RM250 juta adalah daripada SME Bank dan RM125 juta lagi daripada pelabur swasta. Di bawah SME Corp pula, RM10 juta akan diperuntukkan untuk Business Accelerator Programme.

Sebagai meningkatkan penggunaan teknologi baru, automasi dan inovasi dalam pembangunan PKS pula, sebanyak RM80 juta diperuntukkan untuk Skim Pinjaman Mudah Automasi dan Pemodenan PKS di bawah Malaysian Industrial Development Finance Berhad.

Tuan Yang Dipertua,

Di sudut lain, Tekun juga menyalurkan pinjaman berjumlah RM3.1 bilion kepada hampir 300,000 orang peminjam dengan had pembiayaan di antara RM1,000 hingga RM100,000. Pada tahun 2015, Tekun akan menyediakan tambahan dana pembiayaan sebanyak RM500 juta, diagihkan seperti berikut:

Pertama: RM350 juta diperuntukkan kepada usahawan Bumiputera yakni hampir 33,000 orang peminjam baru;

Kedua: RM50 juta dikhususkan kepada Skim Pembiayaan Usahawan India, dijangka memanfaatkan 5,000 peminjam kaum India;

Ketiga: RM50 juta diperuntukkan kepada Program Pembangunan Usahawan Wanita Muda Profesional yakni pembiayaan kepada 5,000 peminjam wanita profesional; dan

Keempat: RM50 juta diperuntukkan kepada Program Pembangunan Usahawan Bekas Tentera, yang menawarkan pembiayaan kepada 5,000 orang bekas tentera.

Seiring itu, bagi membantu PKS kaum Cina, Kerajaan akan menyediakan pinjaman mudah sebanyak RM50 juta, manakala bagi penjaja dan peniaga kecil sebanyak RM30 juta.

Tuan Yang Dipertua,

Tindakan ke-14: Pembangunan Inovasi dan Pengkomersilan

Ketika ini, nisbah R&D kepada KDNK adalah rendah jika dibanding dengan negara maju seperti Jepun dan Korea Selatan. Justeru, kerajaan memperuntukkan RM1.3 bilion kepada Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi bagi melaksanakan program berkaitan, antaranya:

Pertama: Mensasarkan 360 produk inovasi berimpak tinggi dikomersilkan dalam tempoh 5 tahun akan datang;

Kedua: Menyediakan dana penyelidikan sebanyak RM290 juta bagi menjalankan pelbagai aktiviti R&D&C yang berimpak tinggi;

Keempat: Memperkenalkan inisiatif baru iaitu Public Private Research Network yang diterajui Kementerian Pendidikan dengan kerjasama MTDC dengan peruntukan sebanyak RM50 juta; dan

Kelima: Memperkukuhkan Program Technology Commercialization Platform oleh Agensi Inovasi Malaysia dengan tambahan RM50 juta.

Tuan Yang Dipertua,

Strategi kedua: Memantap tadbir urus fiskal

Hakikatnya, Kerajaan sentiasa berusaha bagi mengukuhkan kemampanan kedudukan kewangan Negara, untuk menjamin kesejahteraan rakyat secara menyeluruh dan mengurangkan defisit fiskal, bagi mencapai bajet berimbang.

Tindakan Pertama: Melaksanakan Cukai Barang dan Perkhidmatan

Semasa pengumuman GST sewaktu pembentangan Bajet 2014 lalu, kerajaan mencadangkan senarai barang makanan dan perkhidmatan asas tidak dikenakan GST. Maka berdasarkan kepada maklum balas pelbagai lapisan masyarakat, kerajaan bersetuju untuk meluaskan skop barang yang tidak dikenakan GST. Antara penambahannya adalah:

(i) Semua jenis buah-buahan tempatan dan diimport;
(ii) Roti putih dan roti wholemeal;
(iii) Serbuk kopi, serbuk teh dan serbuk koko;
(iv) Mi kuning, kue tiau, laksa dan bihun;
(v) Ubat-ubatan Penting Nasional yang meliputi hampir 2,900 jenama ubat. Ubat-ubatan ini adalah bagi kegunaan rawatan untuk 30 jenis penyakit termasuk
sakit jantung, kencing manis, darah tinggi, kanser dan rawatan kesuburan;
(vi) Bahan bacaan seperti buku mewarna kanak-kanak, buku latihan dan rujukan, buku teks, kamus dan kitab agama; dan
(vii) Surat khabar.

Selain itu, kerajaan juga bersetuju menaikkan kadar penggunaan elektrik yang tidak dikenakan GST daripada 200 unit kepada 300 unit pertama. Ini bermakna, sebanyak 70% isi rumah akan mendapat manfaat langsung.

Di samping itu, bagi mempastikan pelaksanaan GST tidak membebankan rakyat, kerajaan bersetuju supaya penjualan runcit minyak petrol RON95, diesel dan LPG diberikan pelepasan GST. Melalui langkah ini, pengguna dan kumpulan sasaran yang berkenaan tidak perlu membayar GST bagi pembelian petrol RON95, diesel dan LPG.

Tuan Yang Dipertua,

Molek saya nyatakan di sini, daripada 944 barang dan perkhidmatan yang terdapat di dalam basket of goods, Indeks Harga Pengguna, 532 barang atau 56% dijangka mengalami penurunan harga sehingga 4.1%. Antara produk tersebut adalah ubat-ubatan, barangan elektrik seperti peti sejuk dan mesin basuh, produk tekstil, barangan plastik seperti baldi dan pinggan mangkuk, kasut dan selipar, perabot rumah, lampin bayi, sabuil, daging, telur ayam, minyak masak, makanan laut, beras dan sayur-sayuran.

Manakala sekitar 354 jenis barang dan perkhidmatan yang akan mengalami kenaikan harga tidak melebihi 5.8%. Apa yang penting, kerajaan berharap para peniaga bersifat bertanggungjawab dengan tidak meningkatkan harga sehingga membebankan rakyat. Untuk memudahkan rakyat, kerajaan akan mengeluarkan shoppers’ guide bagi membolehkan mereka membuat perbandingan harga sebelum dan selepas GST.

Tuan Yang Dipertua,

Perlu difahami baik-baik juga, sebenarnya, kesan langsung daripada perlaksanaan GST, membolehkan kerajaan mengurangkan beban cukai kepada rakyat seperti berikut:

Pertama: Kepada individu dan isi rumah bagi tahun taksiran 2015

(i) Kadar cukai pendapatan individu akan dikurangkan satu hingga tiga mata peratusan. Melalui langkah ini, seramai 300,000 orang yang kini membayar cukai pendapatan tidak lagi perlu membayar.

(ii) Manakala, golongan berkeluarga yang berpendapatan RM4,000 sebulan tidak lagi mempunyai tanggungan cukai.

(iii) Cukai pendapatan individu juga akan distruktur semula di mana pendapatan bercukai pada kadar maksimum dinaikkan daripada melebihi RM100,000 ringgit kepada melebihi RM400,000. Kadar cukai maksimum yang kini 26% pula, dikurangkan kepada 24%, 24.5% dan 25%.

Justeru, pembayar cukai akan menikmati penjimatan bayaran cukai sekurang-kurangnya sebanyak 5.3%.

Kedua: Bagi tahun taksiran 2015, kadar cukai pendapatan koperasi juga dikurangkan satu hingga dua mata%an. Selain itu, yuran kesetiausahaan dan pemfailan cukai juga dibenarkan potongan cukai;

Ketiga: Bagi tahun taksiran 2016, kadar cukai pendapatan syarikat dikurangkan satu mata%an daripada 25% kepada 24%;

Keempat: Bagi tahun taksiran 2016, kadar cukai pendapatan syarikat kecil dan sederhana dikurangkan satu mata%an daripada 20% kepada 19%.

Tuan Yang Dipertua,

Pada satu perspektif, pengalaman antarabangsa membuktikan, tahap kesediaan peniaga adalah salah satu faktor kejayaan pelaksanaan GST. Bagi membantu para peniaga, insentif dan bantuan berikut akan dilaksanakan:

Pertama: Pemberian Geran latihan sebanyak RM100 juta kepada peniaga untuk menghantar kakitangan menjalani latihan tentang GST;

Kedua: Bantuan kewangan berjumlah RM150 juta kepada PKS bagi pembelian perisian perakaunan;

Ketiga: Kos pembelian peralatan dan perisian ICT diberi Elaun Modal Dipercepatkan; dan

Keempat: Perbelanjaan latihan perakaunan dan ICT berkaitan GST diberi potongan cukai tambahan.

Tuan Yang Dipertua,

Tindakan ke-2: Merasionalisasi Subsidi

Kerajaan memperuntukkan RM588 juta bagi pelbagai subsidi pada 1994. Jumlah ini meningkat kepada RM40.5 bilion pada tahun 2014.

Bagi menambah baik kedudukan kewangan awam, Kerajaan komited untuk melaksanakan langkah rasionalisasi subsidi, terutamanya subsidi petroleum. Langkah ini bertujuan mempastikan pemberian subsidi lebih bersasar serta rnengurangkan ketirisan dan penyeludupan. Kerajaan akan mempastikan langkah rasionalisasi subsidi dilaksanakan secara berperingkat bagi mempastikan ia tidak membebankan rakyat.

Kini, lebih RM21 bilion setahun diperuntukkan untuk membiayai subsidi petrol RON95, diesel dan gas memasak LPG. Kesannya, peruntukan subsidi meningkat lebih 14 kali ganda daripada RM1.65 bilion tahun 2002 kepada RM23.5 bilion tahun 2013, semata-mata untuk mengekalkan harga runcit petrol yang rendah. Ini disebabkan peningkatan jumlah kenderaan daripada 13.6 juta unit pada 2008 kepada 23.7 juta unit pada 2013.

Oleh yang demikian, bagi mempastikan pemberian subsidi yang lebih bersasar dan mengambil kira kesedaran dan kesediaan rakyat terhadap langkah rasionalisasi subsidi, Kerajaan akan membangunkan satu mekanisme baru pemberian subsidi petroleum yang akan saya umumkan dalam masa terdekat.

Tuan Yang Dipertua,

Tindakan ke-3: Menyebar Luas Strategi Lautan Biru Kebangsaan

National Blue Ocean Strategy, menunjukkan keberkesanan pelaksanaan projek dan program Kerajaan. Untuk itu sebanyak RM356 juta akan disediakan bagi tahun 2015, iaitu:

Pertama: Membuka 4 buah lagi UTC di Terengganu, Kelantan, Negeri Sembilan dan Perlis serta 1 mini UTC di Kedah; dan

Kedua: Mempergiatkan latihan peningkatan kemahiran atau upskilling kepada 5,000 pelatih melalui program 1Malaysia Skills and Employability Scheme bagi sektor awam dan 1Malaysia Training Centre bagi sektor swasta.

Tuan Yang Dipertua,

Strategi kedua: Mengupaya modal insan dan keusahawanan

Kontemporari ini, antara faktor yang menentukan kejayaan bagi sesebuah negara banyak bergantung kepada sumber manusianya. Kekayaan kini tidak lagi berasaskan kepada sumber ‘bahan mentah’ seperti petroleum, kelapa sawit atau sumber galian, semata-mata, tetapi juga merangkumi idea, kreativiti dan inovasi serta kemahiran insaniah, termasuklah ciptaan-ciptaan produk terkini, yang berupaya menjana ekonomi dan melahirkan usahawan-usahawan baharu.

Bagi maksud strategi ini dan falsafah modal insan, selaras dengan Ekonomi Keperluan Rakyat, adalah menjadi hasrat Kerajaan agar komponen gaji dalam KDNK ditingkatkan daripada takuk 34% pada masa ini kepada 40% daripada KDNK menjelang 2020.

Tuan Yang Dipertua,

Tindakan Pertama: Memantapkan Profesionalisme Perguruan dan Prestasi Sekolah

Sektor pendidikan negara akan terus diperkukuh selaras dengan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025. Bagi tujuan ini, RM56 bilion diperuntukkan kepada Kementerian Pendidikan Malaysia untuk membiayai pelbagai program pengajaran dan pembelajaran. Ini termasuk penekanan akan diberikan kepada pemantapan sekolah-sekolah yang memerlukan bimbingan serta bantuan khusus. Justeru, peruntukan sebanyak RM250 juta disediakan untuk menjayakan program Pembimbing Pakar Peningkatan Sekolah dan program Rakan Peningkatan Sekolah.

Tindakan Ke-2: Mengupaya Program Sekolah Amanah dan Pembinaan Sekolah baru

Kerajaan juga akan memperluaskan program Sekolah Amanah yang dimulakan pada tahun 2011. Setakat ini, 30 buah Sekolah Amanah diwujudkan yang memanfaatkan lebih 20,000 pelajar dan 1,500 guru. Di bawah program ini, pengetua diberi kuasa autonomi dan akauntabiliti yang tinggi dalam menguruskan pentadbiran serta proses pengajaran dan pembelajaran di sekolah. Justeru, pada tahun hadapan, Kerajaan bercadang untuk memperluaskan program ini ke 20 buah sekolah lagi di negeri Johor, Sarawak, Selangor, Perak, Negeri Sembilan dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dengan peruntukan RM10 juta.

Di samping itu, Kerajaan juga akan membina 12 buah sekolah baru, iaitu 7 buah Sekolah Rendah, 3 buah Sekolah Menengah dan 2 buah Sekolah Berasrama Penuh di seluruh negara.

Tindakan Ke-3: Mengarus Perdana Pendidikan Teknikal dan Vokasional

Menjelang tahun 2020, sekurang-kurangnya 46% pekerjaan memerlukan kelayakan teknikal dan vokasional. Untuk itu, Kerajaan akan meningkatkan pengambilan pelajar di kolej vokasional dan kolej komuniti melalui program Transformasi Vokasional dan Teknik serta menaik taraf kolej. Bagi tujuan tersebut, kerajaan memperuntukkan RM1.2 bilion.

Bersabit hal ini juga, buat masa ini bagi permohonan untuk mengambil jurusan di bawah Program Latihan Teknikal dan Vokasional atau TEVT, yang diterima oleh Kementerian Pendidikan jauh melebihi kemampuan tempat yang boleh disediakan, yakni lebih kurang 20,000. Jadinya, sebagai langkah untuk membuka lebih peluang bagi bidang ini, Kerajaan bersetuju meluluskan RM100 juta dengan serta merta kepada Kementerian Pendidikan untuk menempatkan 10,000 pelajar di kolej-kolej teknikal dan vokasional swasta. Di samping itu, RM50 juta juga turut diperuntukkan kepada MARA bagi perlaksanaan Program TEVT.

Tuan Yang Dipertua,

Sebagai dorongan kepada syarikat swasta pula, kerajaan mencadangkan galakan cukai sedia ada ditambah baik seperti berikut:

Pertama: Potongan dua kali bagi maksud pengiraan cukai pendapatan diperluaskan kepada biasiswa untuk pelajar di peringkat pengajian pensijilan vokasional dan teknik;

Kedua: Potongan dua kali bagi maksud pengiraan cukai pendapatan ke atas perbelanjaan syarikat dalam melaksanakan program internship berstruktur di peringkat diploma dan vokasional; dan

Ketiga: Potongan tambahan bagi maksud pengiraan cukai pendapatan diberi ke atas perbelanjaan latihan yang ditanggung oleh majikan bagi pekerja untuk mendapatkan sijil dan kelayakan profesional yang diiktiraf.

Tuan Yang Dipertua,

Tindakan Ke-4: Membangunkan dan Menyelenggara Fasiliti Pendidikan

Dalam aspek keselamatan dan persekitaran pembelajaran pula, kerajaan akan menyediakan RM800 juta untuk tujuan ini dengan pecahan seperti berikut:
• Sekolah Kebangsaan RM450 juta;
• Sekolah Jenis Kebangsaan Cina RM50 juta;
• Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil RM50 juta;
• Sekolah Mubaligh RM50 juta;
• Sekolah Berasrama Penuh RM50 juta;
• Sekolah Agama Bantuan Kerajaan RM50 juta;
• MRSM RM50 juta;
• Sekolah Pondok yang berdaftar RM25 juta; dan

Sekolah Menengah Kebangsaan Cina atau conforming school yang mengguna pakai kurikulum Kebangsaan diperuntukkan sebanyak RM25 juta. – Bernama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.