Sasaran Bom Kepada ‘Ah Hai’ Geng 21

Kuala Lumpur – Serangan bom di kelab malam di Kuala Lumpur pada Khamis disasarkan kepada seorang kingpin atau ketua geng dari kumpulan kongsi gelap, menurut laporan akhbar hari ini.

Utusan Malaysia melaporkan ketua itu dikenali sebagai ‘Al Capone,’ manakala menurut The Star, dia ialah ‘Ah Hai’ daripada Geng 21.

Lelaki berumur 53 tahun ini, lapor The Star, mengetuai kumpulan itu selama lebih 20 tahun, terlibat dalam perniagaan haram di Kuala Lumpur termasuk perjudian.

Ah Hai juga turut mempunyai rekod polis kerana kesalahan berkaitan dadah, kata sumber itu.

“Dia menjadi sasaran berikutan pergaduhan berterusan antara kumpulan itu dengan geng lain yang bermusuhan,” satu sumber memberitahu The Star semalam.

Pada jam 4.25 pagi Khamis, berlaku letupan di depan kelab di Jalan Bukit Bintang, membunuh seorang joki kereta dan mencederakan 13 yang lain.

The Star melaporkan Ah Hai berada di tempat kejadian tetapi berjaya melarikan diri tanpa sebarang kecederaan apabila bom tangan kedua yang dilempar dari tingkat dua bangunan itu gagal meletup.

Polis menolak mengaitkan kejadian itu dengan kegiatan pengganas, sebaliknya mengatakan ia melibatkan kumpulan kongsi gelap kerana kawasan itu lebih dikenali dengan kegiatan jahat.

Polis berkata, mereka mencari suspek yang membaling bom tangan, kini menyembunyikan diri.

The Star melaporkan Ah Hai cuba menjadikan operasi kegiatannya sah di sisi undang-undang dengan mengembangkan perniagaan dalam pembangunan hartanah dan import makanan.

Sumber berkata ketua kumpulan itu memberhentikan beberapa aktiviti haramnya beberapa tahun lalu.

“Dia mungkin menimbulkan kemarahan kumpulan lawan apabila menceroboh ke dalam kawasan mereka semasa mengembangkan perniagaannya.”  –  MI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.