Penghantar Sayur Tikam Pemandu Bas Dihantar Ke Tanjung Rambutan

Georgtown – Mahkamah Majistret di sini hari ini, memerintahkan seorang penghantar sayur ditempatkan di Hospital Bahagia, Tanjung Rambutan, Perak, selama satu bulan bagi menjalani rawatan dan pemantauan atas tuduhan mencederakan seorang pemandu bas RapidPenang pada Isnin lalu.

Majisret L Umardevi mengeluarkan perintah itu ke atas Chong Lan Keow, 49, selepas peguambela tertuduh, Norliza Mohd Ali memohon mahkamah berbuat demikian dengan alasan anak guamnya mengalami masalah jiwa.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan ke atas Aisyamudin Yaacob, 27, dengan menggunakan sebilah pisau pada jam 6.50 pagi, 6 Oktober lalu.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di dalam sebuah bas RapidPenang di Jalan Paya Terubong Relau di Sungai Nibong dalam Daerah Timur Laut di sini.

Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga tiga tahun atau denda atau sebat atau mana-mana dua seksaan itu jika sabit kesalahan.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Noor Azura Zulkifli. Mahkamah kemudian menetapkan 10 November ini sebagai tarikh sebutan kes.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.