Suspek Skodeng Bawah Skirt Wanita Dibebaskan Dengan Jaminan Polis

BEKAS pegawai Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Mohd Azis Jamman yang disyaki merakam video bawah skirt petugas wanita di kedai cermin mata di Solaris Dutamas, Kuala Lumpur, Sabtu lalu, dilepaskan dengan jaminan polis malam tadi.

Ketua Polis Daerah Sentul Asisten Komisioner R Munusamy berkata, lelaki berusia 47 tahun itu dilepaskan selepas keterangannya diambil bagi membantu siasatan kes terbabit.

“Lelaki itu dibebaskan kira-kira 10 malam tadi dengan jaminan polis selepas diambil keterangan.

“Bagaimanapun, siasatan lanjut masih dijalankan,” katanya ketika dihubungi di Kuala Lumpur, hari ini.

Semalam, lelaki terbabit ditahan kira-kira 1 tengah hari di restoran di Kuala Lumpur bagi membantu siasatan kes itu.

Terdahulu, Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Seri Mazlan Lazim memaklumkan pihaknya membuka kertas siasatan kes itu mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan dan Seksyen 14 Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil (Akta 336).

Terdahulu, petugas wanita di kedai cermin mata di Solaris Dutamas, membuat laporan di Balai Polis Damansara, Petaling Jaya, selepas menyedari seorang lelaki merakam video bahagian bawah skirtnya, kira-kira 11 pagi, kelmarin.

Malah, video perbuatan keji lelaki itu yang berdurasi 1 minit 46 saat turut dimuat naik di laman sosial Facebook.

Mangsa yang hanya mahu dikenali sebagai Khee memaklumkan insiden itu berlaku ketika dia sedang membuat pemeriksaan mata timbalan menteri berkenaan sebelum menyedari tindakan lelaki terbabit mengubah kedudukan kerusi dan duduk rapat menghamipirinya di bahagian belakang sambil memegang telefon bimbit.

Pemeriksaan terhadap rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di premis berkenaan mendapati lelaki itu merakam bahagian dari bawah skirt wanita terbabit. – HMetro

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.