Siapa Dalang Pembunuh Alias?

MARANG: “Jika betul lelaki yang ditembak mati adalah pembunuh upahan dan terbabit dalam kes pembunuhan Allahyarham, kami minta Polis Diraja Malaysia (PDRM) siasat siapa dalangnya.”

Itu permintaan dan harapan ahli keluarga bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Alor Limbat, Allahyarham Alias Abdullah, yang hanya mahu dikenali sebagai Nar, selepas pembunuhnya, Syukri Mohamad Abiah, 37, atau lebih dikenali sebagai Keri Pok Jeng, ditembak mati polis dalam kejadian berbalas tembakan awal pagi semalam.

Alias, yang juga seorang peguam, ditemui mati ditembak dari jarak dekat oleh individu yang mengetuk pintu rumahnya di Kampung Alor Limbat, Marang, selepas pulang daripada mengerjakan solat Jumaat pada 9 Oktober 2015.

Bagaimanapun, Nar berkata seluruh ahli keluarga Alias tetap bersyukur pembunuh yang bertanggungjawab menerima pembalasan setimpal dan berterima kasih kepada PDRM kerana tidak jemu melakukan siasatan dan memburu pembunuh yang bertanggungjawab.

“Saya bagi pihak ahli keluarga Allahyarham mengucapkan terima kasih kepada PDRM kerana tidak jemu melakukan siasatan walaupun kes sudah tiga tahun berlalu.

“Namun, kami mahu siasatan terus dilakukan untuk mengenal pasti perancang utama termasuk individu yang mengupah Keri supaya membunuh Alias,” katanya ketika ditemui NSTP di kawasan kediaman Allahyarham Alias di Kampung Alor Limbat di sini, hari ini.

Usaha NSTP untuk menemubual isteri Allahyarham, Noriha Muhammad, 48 tidak berhasil apabila kediaman mereka kosong.

Difahamkan, isteri Allahyarham dan empat anaknya iaitu Anis Afeeqah Alias, 27; Anis Areesha, 25; Ahmad Afeef, 21 serta Anis Ameeda, 17, sudah berpindah sejak dua tahun lalu di bandar raya ini.

Usaha menghubungi Noriha menerusi aplikasi WhatsApp juga gagal mendapatkan komennya mengenai kejayaan polis itu dan beliau hanya meminta maaf serta enggan mengulas lanjut.

Keri Pok Jeng adalah penjenayah paling dikehendaki polis di Terengganu, Pahang dan Kelantan, selepas dipercayai melakukan lebih 12 kes termasuk kes bunuh, jenayah kekerasan dan culik, mati selepas ditembak dua kali, masing-masing di kepala dan dada dalam kejadian berbalas tembakan di FELDA Neram Satu, Kemaman, kira-kira jam 4.30 pagi semalam.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Asisten Komisioner Fazlisyam Abd Majid, dilaporkan berkata suspek dipercayai terbabit dalam kes pembunuhan Alias pada 9 Oktober 2015 dan polis turut merampas sepucuk pistol separa automatik masih berisi sebutir peluru dan sebilah parang. – BERITA HARIAN

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.