‘Saya Masih Aktif, Cuma Tidak Tular’ – Ika Nabella

KUALA LUMPUR: Siapa kata bekas peserta musim keenam Akademi Fantasia (AF), Ika Nabella tidak mahu berlakon atau menyanyi lagi?

Buktinya, drama Bahagia Bukan Bidaan (BBB) yang mula mengisi slot Samarinda terbitan TV3 sejak 3 September lalu, mengesahkan Ika masih terus berjuang dalam survival seninya.

Malah, watak antagonis bernama Aina yang dipegang Ika, dibenci penonton sekali gus menarik perhatian ramai terhadap drama dibintangi Nora Danish dan Zamarul Hisham itu.

“Saya berharap drama ini menjadi bayangan besar untuk pengarah, penerbit dan saluran televisyen (TV) bahawa Ika masih aktif dalam dunia lakonan serta nyanyian.

“Ika masih ada… Belum mahu berhenti. Sebenarnya, masih ada naskhah lain yang menampilkan saya sebagai watak utama sedang menunggu giliran ditayangkan,” katanya kepada BH Online.

Ika berkata, tidak wujud istilah bersara dalam kamus hidupnya sekarang.

“Saya masih terima tawaran… Cuma naskhah yang diterima tak tular sahaja,” katanya.

Mengulas mengenai watak Aina dalam BBB, Ika berkata, dia berusaha menghidupkan karakter perosak rumah tangga orang.

“Pada mulanya, saya agak tertekan apabila netizen cuba memberi cadangan untuk saya menjadi jahat seperti watak antagonis lain.

“Alhamdulillah… Saya berjaya menghidupkan Aina berdasarkan imaginasi serta panduan diberi pengarah, Eoon Shuhaini,” katanya.

Ika berkata, BBB menyaksikan dirinya berganding dengan pelakon nama besar seperti Nora Danish.

“Alhamdulillah berganding dengan nama besar membuatkan saya yakin dengan produksi ini.

“Malah, babak bersama Zamarul dapat dijayakan kerana dia sangat profesional. Saya bebas mengembangkan idea dan imaginasi sepanjang penggambaran,” katanya yang bercuti rehat sepanjang bulan ini.

Ika yang juga isteri kepada Muhammad Zaid Aznam, sedang menanti drama Warkah Dari Firenzia yang dilakonkan bersama Zahiril Adzim, disiarkan RTM, tidak lama lagi. – BERITA HARIAN

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.