“Perpecahan Melayu Membimbangkan”

IPOH: Penerima anugerah Tokoh Maal Hijrah Perak 1440 Hijrah, Ahmad Awang, menyuarakan kebimbangan terhadap gejala perpecahan yang mulai ketara dalam kalangan orang Melayu dan Islam di negara ini.

Ahmad, 82, yang juga bekas Yang Dipertua Persatuan Ulama Malaysia (PUM), berkata umat Islam wajar menghayati dan mengambil iktibar peristiwa Hijrah Rasulullah serta Piagam Madinah sebagaimana saranan dalam titah Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah.

Beliau yang kini Penasihat Umum Parti Amanah Negara (AMANAH) berkata, kira-kira 40 tahun lalu negara pernah menyambut ketibaan tahun baharu hijrah secara besar-besaran kerana menganggap kedatangan abad baru ke-15 tahun hijrah sebagai abad kebangkitan umat Islam seluruh dunia, khususnya di Malaysia.

“Tetapi, saya dan kita semua ketika ini menyaksikan dunia Islam boleh dikatakan bukan bangkit tetapi hampir roboh kerana dalam abad ini berlaku peperangan sesama umat Islam, bermula dengan peperangan hampir 10 tahun Iraq dan Iran disusuli Iraq dan Kuwait serta beberapa negara lain yang turut serta.

“Sekarang kita lihat Iraq, Libya dan Syria sudah hancur dan peperangan yang paling lama berlaku di negara Islam termiskin iaitu Somalia, iaitu hampir 20 tahun.

“Di rantau Melayu, walaupun belum sampai tahap berperang, tetapi kita lihat gejala perpecahan umat khasnya di Malaysia merunsingkan,” katanya ketika ditemui selepas majlis sambutan Maal Hijrah 1440 peringkat negeri Perak di sini, hari ini.

Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah, berkenan merasmikan dan menyampaikan anugerah pada majlis sambutan berkenaan.

Menerusi anugerah itu, Ahmad yang berasal dari Simpang Empat, Semanggol, membawa pulang hadiah wang tunai berjumlah RM10,000, pakej umrah bernilai RM7,000, medal, plak dan sijil penghargaan.

Bekas Pengarah Pusat Islam dan kini Timbalan Pengerusi Kesatuan Ulama Sedunia cawangan Malaysia itu berkata, Piagam Madinah bertujuan membangunkan masyarakat bertamadun dan berakhlak mulia serta menyantuni semua bangsa, pelbagai kaum dan agama.

Katanya, walaupun akidah dan teras pembangunan tidak boleh berubah tetapi penghayatan Islam sebagai cara hidup sepanjang zaman serta membawa rahmat kepada seluruh manusia, menjadi struktur penting perlembagaan berkenaan.

Sementara itu, penerima anugerah Tokoh Ar-Ridzuan, Datuk Mohamad Nor Khalid, 67, atau lebih popular dengan nama Lat, tidak menyangka menerima anugerah berkenaan yang disifatkan sebagai pengiktirafan kepada sumbangan dan peranan pelukis atau kartunis dalam masyarakat.

“Saya tidak sangka menerima anugerah ini, patut ramai lagi orang lain boleh dapat, tetapi saya yang dapat,” katanya ketika ditemui pemberita selepas majlis berkenaan.

Menerusi anugerah itu, Mohamad Nor yang berasal dari Gopeng, membawa pulang hadiah wang tunai berjumlah RM10,000, pakej umrah bernilai RM7,000, medal, plak dan sijil penghargaan.

Katanya, beliau berkarya sejak usia muda sehingga sudah berusia dan mendapat dorongan daripada guru ketika bersekolah, keluarga, rakan dan beberapa pelukis lain.

“Tujuan melukis ini adalah untuk berhubung dengan masyarakat, menyampaikan mesej yang baik dan mengeratkan silaturahim.

“Falsafah hidup saya ialah apabila kita ingin bersahabat, maka hulurkanlah salam, pasti salam kita akan disambut oleh orang lain,” katanya. – BERITA HARIAN

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.