Pemantauan Selsema Burung Diteruskan

KOTA KINABALU: Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) masih melaksanakan pemantauan dalam radius 10 kilometer dari beberapa lokasi penularan selesema burung yang dikesan di daerah Tuaran, baru-baru ini.

Pengarah Operasi Selesema Burung JPV, Dr Suhaili Lusin, berkata setakat ini tiada kes baharu dikesan, manakala operasi di semua lokasi yang dikesan berlaku wabak selesema burung sebelum ini sudah selesai.

“Aktiviti penghapusan dan pelupusan unggas sudah selesai di Kampung Laya-Laya dan Tenghilan, tidak ada tumpuan baharu (kes).

“Selepas ini aktiviti akan difokuskan kepada aktiviti pemantauan pasif dalam radius 10 kilometer,” katanya ketika dihubungi NSTP, hari ini.

Awal bulan ini, dua lokasi baharu kes selesema burung dikesan di Tuaran iaitu di Kampung Laya-Laya dan Kampung Ladang Estate Tenghilan, membabitkan ternakan ayam milik penduduk.

Pada awal Ogos lalu, kes selesema burung dikesan di ladang ternakan ayam di Kampung Kauluan, memaksa pihak JPV melaksanakan operasi pelupusan unggas dengan kira-kira 30,000 ayam dari dua ladang ternakan ayam dimusnahkan.

Anggota JPV turut melaksanakan operasi sama di beberapa kampung sekitar Kauluan selain mengawal ketat sebarang kegiatan membawa keluar unggas khususnya ayam dari kawasan wabak.

Berikutan terdapat sampel positif virus selesema burung dari unggas di Tuaran, Menteri Pertanian dan Industri Makanan negeri, Junz Wong, pada 3 Ogos lalu mengisytiharkan daerah itu sebagai kawasan wabak virus berkenaan. – BERITA HARIAN

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.