Paras Air Laut Meningkat

KLANG: Paras air laut di Jeti Nelayan Pangkalan Tok Muda, Kapar di sini, mencecah ketinggian 5.5 meter, namun keadaan masih terkawal dan tiada penduduk diarah berpindah setakat ini.

Ketua Bomba dan Penyelamat Zon Klang, Samsol Maarif Saibani, berkata pihaknya bersama agensi lain memulakan pemantauan di lokasi itu dan Jeti Sementa, bermula jam 4.30 pagi tadi.

“Pemantauan dijalankan secara berterusan membabitkan Jeti Nelayan Tok Muda dan Jeti Nelayan Batu 4 Sementa serta ban-ban di pesisiran pantai di sekitar daerah ini.

“Pada jam 7.05 pagi tadi, paras air paling tinggi iaitu 5.5 meter dicatatkan namun ia kembali surut tidak lama kemudian.

“Paras sama dijangka berlaku esok namun pada jam 7.42 pagi. Pemantauan akan dilakukan sama ada berlaku kenaikan air, ban bocor atau limpahan air,” katanya ketika ditemui NSTP di jeti itu, hari ini.

Selain Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), pemantauan fenomena air laut pasang besar itu dibantu Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Pertahanan Awam (APM), Unit Pengurusan Bencana Negeri (UPBN) dan Skuad Pantas Majlis Perbandaran Klang (MPK).

Samsol Maarif berkata, setakat ini tiada pemindahan penduduk yang menetap berdekatan kawasan ban.

“Tiada ban bocor atau lubang kecil yang dibuat ketam atau anasir lain yang boleh menyebabkan air dari laut masuk ke dalam kampung.

“Ia kerana ban sepanjang pesisiran pantai daerah ini kukuh dan kuat kerana sudah diselenggara oleh Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS),” katanya.

Sementara itu, bekas Ketua Kampung Tok Muda, Hailani Suri, 70, berkata paras air setakat ini lebih rendah berbanding dua tahun lalu.

“Walaupun kurang, saya mengingatkan kira-kira 50 keluarga yang pernah terbabit dengan pemindahan sebelum ini terutama yang tinggal berhampiran ban supaya berwaspada dan bersiap sedia menghadapi sebarang kemungkinan.

“Apa yang membimbangkan jika ada angin atau ombak laut kerana ia faktor menyebabkan kenaikan paras air.

“Alhamdulillah, pembinaan ban baharu mengurangkan risiko kemasukan air,” katanya. – BERITA HARIAN

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.