Hayati Falsafah Perpaduan Piagam Madinah – Sultan Nazrin

IPOH – Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah, menggesa umat Islam dan rakyat negara ini menghayati falsafah yang terkandung dalam Perlembagaan Madinah bagi mengukuh perpaduan serta mewujudkan kemakmuran negara.

Baginda bertitah, Piagam atau Perlembagaan Madinah digubal dengan wawasan yang jauh, mengunjurkan realiti komposisi penduduk dunia yang bakal dihadapi pada masa hadapan.

Titah baginda, ia juga digubal dalam semangat yang memahami seruan yang terkandung di dalam al-Quran, dengan menerima hakikat ciptaan Ilahi, di samping berusaha memahami muslihat yang terselindung di sebalik kebijaksanaan Allah mencipta penganut agama yang pelbagai.

“Ketika negara menyambut ulang tahun tarikh kemerdekaan, ketika rakyat memperingati tarikh penubuhan sebuah negara Malaysia yang berdaulat, aman, makmur lagi sejahtera, dan ketika kita menziarahi Peristiwa Hijrah, selamilah, hayatilah semangat perpaduan yang terkandung di sebalik penggubalan Perlembagaan Madinah.

“Begitu juga falsafah penyatuan dalam kepelbagaian yang terkandung dalam Perlembagaan Negara. Perpaduan sesama umat Islam wajib diperkukuhkan, perpaduan sesama rakyat pelbagai agama dan kaum wajib disuburkan, dalam hasrat membina kehidupan yang damai lagi harmoni dalam hasrat membangunkan negara yang aman lagi makmur,” titah baginda.

Baginda bertitah demikian pada majlis sambutan Maal Hijrah 1440 peringkat negeri yang bertemakan ‘Perpaduan Ummah dan Penyatuan Rakyat’ di sini hari ini.

Turut berangkat, Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim; Raja Muda, Raja Jaafar Raja Muda Musa dan Raja Dihilir Perak, Raja Iskandar Dzulkarnain Sultan Idris.

Yang turut hadir, Menteri Besar, Ahmad Faizal Azumu.

Pada majlis itu, Penasihat Umum Parti Amanah Negara (AMANAH) yang juga bekas Yang Dipertua Persatuan Ulama Malaysia (PUM), Ahmad Awang, 82, dipilih sebagai Tokoh Maal Hijrah tahun ini manakala kartunis terkenal, Datuk Mohd Nor Khalid atau lebih popular dengan nama Lat, 67, dipilih sebagai Tokoh Ar-Ridzuan.

Kedua-dua anugerah itu masing-masing memberikan penerimanya hadiah wang tunai RM10,000; pakej umrah bernilai RM7,000; medal, plak dan sijil.

Sultan Nazrin bertitah, barisan pemimpin yang mengasaskan penubuhan negara merdeka bersifat pragmatik dan realis dengan menerima realiti komposisi kepelbagaian rakyat di negara ini.

Baginda bertitah, Perlembagaan merdeka digubal berasaskan realiti komposisi rakyat yang begitu pelbagai dengan setiap individu diberikan jaminan keadilan, perlindungan dan hak.

“Prinsip toleransi dan semangat menghormati kewujudan pelbagai agama termaktub di dalam Perkara 3(1) Perlembagaan Persekutuan; ‘Agama Islam ialah agama bagi Persekutuan tetapi agama-agama lain boleh diamalkan dengan aman dan damai di mana-mana bahagian Persekutuan’,” titah baginda. – BH

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.