Dua Nelayan Dikhuatiri Diculik Di Perairan Semporna

KOTA KINABALU – Dua nelayan warga Indonesia dikhuatiri diculik di perairan Semporna sewaktu tempoh berkurung sekitar pukul 1 pagi, Selasa.

Menurut sumber, ketika itu, empat krew di atas sebuah kapal menangkap ikan baru sahaja berlabuh di jeti Pulau Gaya, Semporna.

Pada kejadian kira-kira pukul 1 pagi itu, salah seorang daripada mereka mendengar bunyi enjin menghampiri sebelum bekalan eletrik di kapal mereka dimatikan secara tiba-tiba.

Dua daipada krew yang berada di dalam satu bahagian kapal tersebut kemudiannya mendengar lelaki bertutur dalam dialek Suluk.

Menerusi satu lubang, mereka melihat dua lelaki bersenjata sedang berada di atas kapal mereka.

Ujar mereka lagi, dua lelaki tersebut dipercayai membawa senjata jenis M16.

Sekitar setengah jam selepas itu, mereka keluar dari persembunyian setelah keadaan bertukar sunyi dan mendapati rakannya sudah tiada.

Sistem komunikasi kapal itu turut hilang bersama dua rakan mereka.

Laporan polis sudah dibuat di Balai Polis Semporna.

Pihak berkuasa dari Jabatan Polis dan Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (Esscom) turut mengesahkan kejadian itu namun maklumat selanjutnya sedang dikumpul bagi menyiasat insiden berkenaan.

Kejadian ini merupakan penculikan pertama dalam tempoh dua tahun.

Perintah berkurung di perairan Sabah yang diperkenalkan empat tahun lalu, dipanjangkan sehingga 13 September.

Perintah berkurung bermula pukul 6 petang hingga 6 pagi itu meliputi kawasan tiga batu nautika dari Tawau, Semporna, Kunak, Lahad Datu, Kinabatangan, Sandakan dan Beluran. – mstar

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.