Dua Beranak Cedera Dilanggar Bot Penambang

LANGKAWI: Dua beranak yang juga nelayan cedera selepas bot dinaiki mereka dilanggar bot penambang di perairan Tanjung Tirai, Kuah, dekat sini, petang tadi.

Dalam kejadian jam 5.30 petang itu, nelayan berusia dalam lingkungan 60-an itu dilaporkan mengalami kecederaan serius akibat paha kirinya terkoyak.

Anak lelakinya yang berusia 16 tahun bagaimanapun hanya luka pada kaki.

Pegawai Angkatan Pertahanan Awam (APM) Langkawi, Left (PA) Nalzatul Ashikin Nordin, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai kemalangan itu pada jam 5.40 petang.

“Difahamkan, ketika kejadian, bot penambang yang dinaiki 10 penumpang dalam perjalanan dari Kuah ke jeti Kampung Selat Bagan Nyiur di Pulau Dayang Bunting sebelum melanggar bot yang dinaiki dua beranak itu.

“Jurumudi dan penumpang bot penambang dilaporkan tidak cedera dan dia (jurumudi) sempat membantu menyelamat dua beranak yang berada di atas bot nelayan selepas kemalangan,” katanya ketika dihubungi.

Difahamkan, lima anggota APM dikejarkan ke lokasi kejadian dengan menaiki bot, namun berpatah balik selepas dimaklumkan mangsa sudah diselamatkan jurumudi bot penambang terbabit.

Nalzatul Ashikin berkata, kedua-dua mangsa yang menetap di Kampung Sungai Menghulu, di sini, sudah dibawa ke Hospital Langkawi dan keadaan mereka dilaporkan stabil. – BERITA HARIAN

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.