PM dan TPM Rafak Sembah Takziah Atas Kemangkatan Sultan Kedah

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini merafak sembah takziah serta menzahirkan rasa sedih dan dukacita atas kemangkatan Sultan Kedah Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah.

Najib berkata beliau dan Sultan Abdul Halim mempunyai hubungan yang akrab sama ada atas kapasiti rasmi atau peribadi selama ini.

“Innalillahiwainnailaihirojiun. Saya berasa sedih dan dukacita menerima berita kemangkatan Tuanku Sultan Kedah sebentar tadi.

“Patik secara peribadi dan bagi pihak Kerajaan Persekutuan dengan penuh kesedihan merafak sembah takziah kepada kerabat diraja negeri Kedah.

“Semoga roh Almarhum dirahmati Allah SWT dan ditempatkan dalam kalangan mereka yang beriman. Al-Fatihah,” kata Najib dalam catatan di Twitter dan Facebook beliau.

Perdana Menteri berkata Almarhum Tuanku Abdul Halim adalah seorang Raja Pemerintah yang disanjung tinggi sepanjang tempoh menyandang jawatan Yang di-Pertuan Agong bagi tempoh dua penggal, dan juga sebagai pemerintah Kedah.

Najib turut menyifatkan Almarhum Tuanku Abdul Halim sebagai peramah, mesra, berhemah tinggi dan amat disayangi rakyat.

Sementara itu, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi turut merafak sembah takziah kepada seluruh keluarga, kerabat diraja dan rakyat Kedah.

“Salam takziah buat seluruh keluarga, kerabat Almarhum Tuanku & seluruh rakyat Kedah. Semoga dicucuri Rahmat Allah SWT. Al Fatihah,” katanya dalam catatan Twitter beliau.

Kerajaan negeri Kedah mengumumkan Tuanku Abdul Halim mangkat di Istana Anak Bukit, Alor Setar pada 2.30 petang tadi. – BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.