PKBM Tawar Khidmat Guaman Percuma Kepada Pelumba Basikal

KUALA LUMPUR – Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) akan menawarkan khidmat guaman percuma kepada semua pelumba berbasikal para negara yang terbabit dalam kemalangan ketika menjalani latihan di Lebuhraya Kuala Lumpur-Kuala Selangor (Latar), baru-baru ini.

Presiden PKBM, Datuk Abu Samah Abd Wahab, dalam kenyataan di sini hari ini, berkata badan induk itu menawarkan khidmat guaman sehingga kes tersebut selesai bagi memastikan semua pelumba terlibat mendapat pampasan sewajarnya.

Beliau memaklumkan PKBM menerusi peguam, Datuk Amarjit Singh, yang juga naib presiden persekutuan itu, telah bersedia memberi perkhidmatan secara percuma selepas dimaklumkan tentang kemalangan tersebut.

Abu Samah, yang merupakan Presiden Persatuan Berbasikal ASEAN (ACA), menjelaskan PKBM akan memastikan semua kepentingan pelumba berkenaan tidak akan diabaikan sehingga kes tersebut selesai sepenuhnya.

Empat atlet berbasikal negara termasuk dua atlet Para ASEAN dan ketua jurulatih cedera selepas dirempuh sebuah kenderaan pacuan empat roda ketika menjalani latihan bagi menghadapi Sukan Para Asean Kuala Lumpur 2017 di di Lebuhraya Latar, Khamis lepas.

Mereka yang terlibat ialah ketua jurulatih, Mohd Johari Nayan, dua atlet Para ASEAN, Mohd Hairul Hazwan Wahab dan Muhammad Khairul Nizam Mohd Ali serta dua lagi “pilot rider” iaitu Mohd Nor Rizual Zainal dan Muhamad Nur Syafiq Suhaimy.

Pada Jumaat lepas, seorang peniaga makanan berusia 46 tahun, yang memandu Toyota Hilux, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Kuala Selangor atas tuduhan memandu secara berbahaya sehingga menyebabkan kemalangan tersebut. – BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.