Masa Untuk Rakyat Hadir Beri Penghormatan 11 Pagi – 12 Tengah Hari Esok

ALOR STAR – Mesyuarat Jawatankuasa Tetap Istiadat Kemangkatan dan Pemakaman DiRaja hari ini memutuskan bahawa jenazah Almarhum Sultan Abdul Halim disemayamkan di Dewan Penghadapan, Istana Anak Bukit untuk memberi peluang kepada rakyat memberi penghormatan terakhir dari 11 pagi hingga 12.30 tengah hari esok.

Menteri Besar Kedah, Datuk Seri  Ahmad Bashah Md Hanipah berkata, penghormatan untuk orang kenamaan pula bermula dari 12.30 tengah hari hingga 1.30 tengah hari.

Jenazah Almarhum baginda kemudian akan dibawa melalui Lebuhraya Darulaman, Jalan Tun Razak, Lebuhraya Sultanah Bahiyah dan Jalan Langgar sebelum ke Makam Diraja Langgar untuk dimakamkan pada 4 petang.

Ahmad Bashah berkata sepanjang tiga hari bermula hari ini, bendera Kedah, bendera Persekutuan dan lain-lain hendaklah dikibarkan separuh tiang manakala tempoh perkabungan adalah selama tujuh hari.

“Dalam waktu tersebut, semua bentuk hiburan keramaian dan perayaan adalah dibatalkan,” katanya.

Beliau turut mengumumkan cuti kelepasan am untuk seluruh negeri Kedah esok tetapi peperiksaan Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) berjalan seperti biasa.  – UTUSAN

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.