Dakwaan ‘Puak Penentang’ PKR Kelantan Dinafi

Parti Amanah Negara (AMANAH) Kelantan menyangkal dakwaan kononnya ada parti kompenan Pakatan Harapan (HARAPAN) mahu menyekat sesetengah pimpinan PKR negeri itu daripada menghadiri mesyuarat gabungan berkenaan.

Pengerusi AMANAH Kelantan, Datuk Wan Abd Rahim Wan Abdullah, berkata perkara itu tidak timbul dan HARAPAN tidak ada masalah dengan pimpinan PKR di negeri berkenaan.

“Tak betul,” katanya ringkas kepada Malaysiakini.

Sebelum ini, Pengarah Pilihan Raya PKR Kota Bharu, Ahmad Syauqey Abdul Ghani, mendedahkan pimpinan rakan-rakan HARAPAN peringkat negeri tidak selesa khususnya dengan pimpinan PKR yang masih mengekalkan jawatan lantikan politik PAS di Kelantan.

Beliau juga mendakwa, wujud khabar angin mengatakan pimpinan HARAPAN dari parti lain mahu menyekat pimpinan PKR berkenaan daripada menghadiri mesyuarat HARAPAN peringkat negeri.

PKR Kelantan kini dalam krisis tersendiri apabila wujud ‘puak penentang’ yang mendesak supaya Ketua Majlis Pimpinan Negeri (MPN), Ab Aziz Ab Kadir melepaskan jawatannya.

Wan Abdul Rahim berkata, parti-parti dalam kompenan HARAPAN perlu memberi peluang dan ruang kepada PKR untuk menyelesaikan permasalahan dalaman mereka.

Sementara itu, Ketua Pemuda Parti Pribumi Bersatu Malaysia (ARMADA) Kelantan, Asran Alias turut menegaskan dakwaan tersebut tidak betul.

Melihat masalah dalaman PKR Kelantan itu katanya, ARMADA Kelantan berpendapat isu tersebut perlu diselesaikan sendiri oleh PKR.
“Ia sedikit sebanyak memberi kesan terhadap HARAPAN, tetapi tidaklah pada tahap serius.

“Lagi pun, segala keputusan berkait dengan HARAPAN akan diputuskan bersama,” katanya.-Malaysiakini

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.