Bukan Cinta Material Shuib, Sarah

Menyebut sepasang nama Shuib dan Siti Sarah, pantas terkenang fizikal sama genit pasangan pelaku seni ini. Berkahwin enam tahun lalu sewaktu kedua-duanya terkapai-kapai dalam mencari landasan kukuh dalam dunia hiburan, hari ini dunia mereka telah tumbuh dengan pelbagai warna yang mengujakan. Karier Shuib meroket, dari sekadar pelawak, dia kini juga merupakan seorang pelakon dan penyampai radio. Sarah sendiri, kerjaya nyanyiannya kembali hangat.

Memasang temu janji dengan pasangan ini menyaksikan bagaimana kedua-duanya saling melengkapi dan hal-hal material seperti kediaman mewah atau kehidupan yang tidak lagi susah. Saat pertama kali menjejakkan kaki di kediaman tiga tingkat milik mereka yang terletak di Puchong, Selangor terbit rasa kagum dalam diri.

 

Ramai tertanya-tanya apakah rahsia kejayaan Shuib yang ketika berkahwin dengan Sarah mengakui langsung tiada sebarang harta termasuklah rumah, kereta dan juga wang.

Hari ini kehidupan mereka sekeluarga berubah 360 darjah. Bukan sahaja memiliki kediaman mewah, kereta, wang, perniagaan, tetapi juga kerjaya yang stabil.

“Apa yang dimiliki hari ini adalah berkat doa ibu bapa dan isteri yang tidak pernah berhenti percaya terhadap saya. Saya yakin, jika niat kita betul dan berusaha keras untuk keluarga, Allah akan permudahkan segalanya,” kata Shuib yang menghadiahkan kediaman mewah tersebut selepas Sarah melahirkan anak ketiga mereka, Ariq Matin yang kini berusia dua tahun.

Mengimbas kembali episod awal perkahwinannya dengan penyanyi yang popular dengan lagu Kesetiaan itu, Shuib atau nama sebenarnya Shahmira Muhamad, 33, mula sebak.

Ceritanya: “Sepanjang enam tahun berkahwin, ini merupakan rumah ketiga kami dan pertama yang dibeli. Selepas berkahwin kami menyewa di sebuah kondominium kecil yang keluasannya tidak sampai 1000 kaki persegi.

“Bayangkan betapa susahnya saya ketika itu sehingga wang deposit sewaktu hendak berpindah masuk ke rumah sewa pertama juga tiada.

“Namun, saya berpegang kuat kepada rezeki Allah dan ia dipermudahkan. Rumah kedua juga masih menyewa, tetapi dengan rezeki yang lebih sedikit, dapatlah kami tinggal di sebuah jenis town house sehingga saya membeli rumah tiga tingkat ini.”

Bersyukur dengan kehidupannya hari ini, namun tegas Shuib jangan sesekali mengukur kejayaannya daripada nilai material yang dimiliki.

Bagi Shuib kejayaan terbesarnya adalah dapat membahagiakan isteri dan anak-anak. Kegembiraan mereka merupakan nilai tertinggi yang tidak dapat ditukar ganti.

“Jika memiliki semuanya seperti rumah besar, kereta mewah dan wang simpanan yang banyak, tetapi hati tidak tenang pun tidak berguna.

“Oleh sebab itu, saya amat pentingkan kebahagiaan dan kegembiraan keluarga. Satu nasihat saya buat lelaki, pasang niat yang betul ketika mencari rezeki dan jangan melencong apabila sudah berduit. Insya-Allah rezeki akan sentiasa ada,” kongsi Shuib yang kini muncul dengan filem Abang Long Fadil 2.

 

KERJAYA. Shuib sibuk sepanjang tahun selain muncul dengan filem Abang Long Fadil 2, dia juga terlibat dengan program Sepahtu Reunion, Super Spontan dan Konti Karat. Sementara itu, Sarah bakal mengeluarkan single solo terbaharunya bergenre balada sekitar penghujung tahun ini.

Dugaan

Menyentuh tentang kehidupan berumah tangga, akui Shuib seperti pasangan lain, dia dan Sarah juga pernah melalui episod getir.

“Bohonglah jika saya katakan sepanjang enam tahun berkahwin semuanya baik sahaja. Pelbagai dugaan datang dalam hubungan kami. Sebagai lelaki saya harus bijak tangani segala masalah.

“Ada dugaan kecil dan besar, tetapi saya sentiasa ingat anak-anak dan ingin selamatkan perkahwinan. Alhamdulillah kerana dugaan yang datang, hubungan kami juga semakin matang dan kuat,” ujar Shuib yang juga penyampai radio Sinar FM.

Bercerita tentang Sarah, Shuib mengakui wanita itu merupakan tulang belakang utama terhadap kestabilan kerjayanya.

Tanpa Sarah, kata lelaki berkulit hitam manis ini dia tidak yakin mampu menjadi Shuib seperti hari ini.

“Tiada manusia yang sempurna di dunia. Namun, bagi saya Sarah merupakan isteri yang hampir sempurna. Dia memikul tanggungjawabnya sebagai isteri dan ibu dengan baik.

“Ketika mula-mula jadi artis, saya sangka hanya boleh jadi pelawak. Suara tidak sedap mana, rupa paras juga biasa sahaja, tetapi Sarah yang yakinkan saya untuk mencuba bidang di luar kotak seorang pelawak. Kini, saya boleh diklasifikasikan sebagai seorang penghibur,” kata Shuib yang bakal muncul dengan programnya sendiri berjudul Konti Karat sekitar penghujung September ini.

Sarah semakin sibuk

Sarah atau nama sebenarnya Siti Sarah Raisuddin, 33, yang pernah berehat daripada dunia seni selama tujuh tahun demi memberi fokus kepada keluarga tidak menyangka kehidupan keluarganya akan berubah secara total.

Sejak tamatnya program realiti Gegar Vaganza musim ketiga, Sarah tidak lagi bergelar seorang suri rumah tangga. Dia kini kembali memeriahkan pentas seni suara dan juga aktif sebagai ahli perniagaan.

“Jika difikirkan kembali kehidupan kami sebelum ini agar sukar. Bagi mencapai tahap hari ini juga bukan mudah. Saya ada sasaran sendiri yang mahu dicapai dalam kehidupan, kerjaya dan perniagaan.

“Saya bersyukur kerana kami suami isteri mempunyai fikiran yang sama iaitu suka mengambil risiko dan tidak pernah takut dengan kegagalan.

“Malah, setiap apa yang ingin dilakukan pasti akan melalui perbincangan bersama. Shuib tidak pernah mengenepikan saya walaupun ketika masih bergelar suri rumah,” kata Sarah yang kini memiliki produk pelangsing badan, Monsta Lab, produk kecantikan, Dollita Beaute dan kanta lekap.

Disoal tentang resipi kejayaan mereka, balas Sarah setiap kejayaan tidak datang bergolek dan tiada jalan pintas. Selain berusaha keras, antara amalannya dan Shuib adalah berdoa dan bersedekah.

 

“Sentiasa berdoa dan bersedekah dengan banyak. Tiada orang yang akan jatuh miskin kerana bersedekah. Tolong orang yang terdekat dengan kita dulu seperti keluarga sebelum membantu orang luar.

“Mendoakan orang sekeliling dan usaha. Apa yang saya lihat Shuib tidak pandai curi tulang sejak dahulu sehingga sekarang. Dia sentiasa menghargai setiap rezeki yang datang sehingga tiada rehat sepanjang minggu,” tutur Sarah.

Sungguhpun kehidupan mereka bertambah sibuk, Sarah menegaskan dia dan Shuib tetap memastikan mempunyai masa berkualiti dengan keluarga.

Baginya keseimbangan antara kerjaya dan kehidupan berkeluarga itu perlu supaya anak-anaknya membesar secara sihat. Justeru itu, Sarah mendedahkan dia mempunyai barisan pembantu yang menguruskan rumah tangga, kerjaya dan juga perniagaan.

“Tidak logik jika saya yang kemas rumah, uruskan tiga orang anak, suami, kerjaya seni dan juga perniagaan seorang diri.

“Di rumah saya mempunyai beberapa orang pembantu, begitu juga dengan perniagaan. Kerjaya seni kini diuruskan oleh Indigital sebab saya tidak boleh bergerak dan uruskan semuanya sendiri.

“Namun, saya akan pastikan mempunyai masa berkualiti dalam sejam atau setengah jam sehari bersama anak-anak. Jika tidak sempat saya akan membawa mereka ke tempat kerja.

“Sesekali kami akan pergi bercuti bersama. Penting untuk saya dan Shuib meninggalkan memori manis ketika mereka masih kanak-kanak kerana keluarga paling utama tidak kiralah setinggi mana kejayaan yang dikecapi,” kongsi Sarah mengakhiri bicara.-Kosmo

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.