Azhar Memulakan Tugas Selaku Pengerusi FGV Hari Ini

KUALA LUMPUR – Datuk Wira Azhar Abdul Hamid tiba di Ibu pejabat FGV di Menara Felda, Persiaran KLCC di sini, kira-kira pukul 8.15 pagi tadi untuk memulakan tugasnya selaku Pengerusi baharu Felda Global Ventures Holdings Bhd. (FGV).

Beliau disambut oleh beberapa kakitangan pengurusan tertinggi syarikat termasuk Datuk Khairil Anuar Aziz yang kini merupakan pegawai yang bertanggungjawab untuk mengambil alih peranan Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan FGV.

Azhar yang juga Bekas Pengarah Urusan Malakoff Corporation Bhd. (Malakoff) dilantik sebagai Pengerusi baharu FGV berkuat kuasa 8 September lalu menerusi pengumuman yang dilakukan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang menganggap beliau berpengalaman luas dalam sektor korporat bagi membantu memantapkan lagi urus tadbir syarikat perladangan itu.

Sepanjang hari ini, Azhar dijangka mempengerusikan beberapa mesyuarat termasuk bersama pengurusan kanan dan Ahli-ahli Lembaga Pengarah FGV. – UTUSAN

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.