Ziyad Berhenti Belajar, Kerjar Cita-Cita Paralimpik

KUALA LUMPUR – Cita-cita Muhammad Ziyad Zolkefli mahu menjadi atlet nombor satu dunia akhirnya tercapai biarpun terpaksa melupakan pengajian di kolej.

 

Atlet paralimpik negara itu nekad berhenti belajar di sebuah kolej swasta selepas menerima tawaran Majlis Sukan Negara sebagai atlet sepenuh masa.

 

Muhammad Ziyad menyumbang emas kedua negara di Sukan Paralimpik dengan rekod baharu dunia acara lontar peluru F20 (masalah pembelajaran) dengan jarak 16.84 meter pada Sabtu, selepas Mohamad Ridzuan Mohamad Puzi meraih pingat emas pertama negara dalam acara 100m T36 lelaki (cerebral palsy).

 

Ibunya, Siti Arfah Abdul Rashid berkata anak sulungnya itu meminati sukan olahraga sejak di bangku sekolah rendah dan sering meraih keputusan cemerlang di kejohanan peringkat sekolah mahupun daerah.

 

Walaupun Siti Arfah pada mulanya tidak bersetuju dengan keputusan Muhammad Ziyad menjadi atlet sepenuh masa, beliau tetap sentiasa mendoakan kejayaan dan menyokong setiap keputusan anaknya yang kini berusia 26 tahun.

 

“Makcik pernah beritahunya sukan ini susah untuk masa depannya, Ziyad perlu ada sijil untuk mendapatkan kerja tetap, tetapi anak saya tetap berdegil dan mahu menjadi atlet.

 

“Walaupun Ziyad tidak seperti anak orang lain, dia mempunyai perancangan yang baik tentang masa depan. Makcik bangga dengan beliau. Ziyad juga seorang anak yang rajin dan tidak menyusahkan orang,” katanya ketika di temui Bernama di kediaman mereka di Gombak.

 

Siti Arfah berkata kejayaan meraih pingat emas itu juga bermakna buat Muhammad Ziyad yang akan melangsungkan perkahwinan bersama Zafirah Nasir pada November ini.

 

Sementara itu, Menteri Besar Selangor Datuk Seri Azmin Ali berkata kerajaan negeri akan memberi ganjaran kepada Muhammad Ziyad sebagai pengiktirafan kepada anak jati Selangor itu yang telah mengharumkan nama negara.

 

“Saya merakamkan rasa gembira rakyat Selangor apabila salah seorang atlet kita dapat meraih pingat emas dan kebetulan dia datang dari Gombak. Insya-Allah selepas Aidiladha ini kita akan membincangkan satu pengiktirafan pada atlet kita yang beraya meraih pingat emas,” kata Azmin. – Bernama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.