Tidak Serik Jual Air Ketum

ALOR GAJAH – Walaupun pernah ditahan tiga tahun lalu atas kesalahan memproses air ketum, seorang lelaki masih tidak serik apabila sekali lagi ditahan atas kesalahan yang sama dalam serbuan polis di sebuah rumah di Durian Tunggal, di sini semalam.

 

Suspek yang merupakan seorang buruh berusia 48 tahun ditahan dalam serbuan oleh sepasukan anggota polis dalam Op Tapis kira-kira pukul 1 pagi.

 

Ketua Polis daerah, Superintenden A. Asmadi Abdul Aziz berkata, dalam serbuan itu polis menemukan sebanyak 13 botol minuman ringan berisi cecair dipercayai air ketum disimpan dalam peti sejuk dan dapur rumah berkenaan.

 

“Dalam pemeriksaan itu, kita turut menemukan bekas aiskrim mengandungi serbuk berwarna hijau dipercayai daun ketum yang telah dikisar dalam peti sejuk berasingan.

 

“Suspek pernah ditahan polis pada tahun 2013 kerana memiliki air ketum dan dia dipercayai melakukan kegiatan itu secara bermusim bergantung kepada permintaan,” katanya ketika dihubungi Mingguan Malaysia di sini hari ini.

 

Menurut Asmadi, suspek dipercayai memperoleh bekalan daun ketum daripada rakannya di Kedah setiap minggu dengan harga RM50 bagi setiap kilogram.

 

Ujarnya, polis percaya lima kilo­gram daun ketum yang dimasak mampu menghasilkan 50 botol air ketum dengan isian 1.5 liter setiap botol berharga RM10.

 

“Suspek kini ditahan reman bagi membantu siasatan dan kes itu disiasat mengikut Seksyen 30(3) Akta Racun 1952,” katanya.-Utusan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.