Raih Dua Emas, Malaysia Cipta Rekod Paralimpik Dan Dunia

KUALA LUMPUR – Kontinjen Malaysia pada temasya Sukan Paralimpik Rio de Janeiro, Brazil, melakar sejarah tersendiri selepas memenangi dua pingat emas, setiap satunya mencipta rekod dunia dan rekod paralimpik.

 

Pingat emas pertama negara diperoleh menerusi pelari pecut Mohamad Ridzuan Mohamad Puzi dalam acara 100m T36 lelaki (cerebral palsy).

 

Dalam acara yang berlangsung di Stadium Olimpik itu, Mohamad Ridzuan mencatat masa 12.07 saat, sekali gus memadam rekod Sukan Paralimpik terdahulu milik Roman Pavlyk dari Ukraine iaitu 12.25s yang dilakukan di Beijing pada 2008.

 

Pingat perak dimenangi Yang Yifei dari China dengan catatan 12.20s dan gangsa menjadi milik atlet tuan rumah, Rodrigo Parreira da Silva dengan 12.54s.

 

Selepas majlis penyampaian hadiah, Mohamad Ridzuan, yang mempunyai kesukaran untuk bertutur, menangis tanpa henti dan terpaksa ditenangkan oleh ketua jurulatihnya, R.Jaganathan.

 

Kejayaan Mohamad Ridzuan kemudiannya disusuli Muhammad Ziyad Zolkefli melalui acara lontar peluru F20 lelaki (masalah pembelajaran).

 

Lebih manis, pemenang pingat gangsa pada edisi ke-14 di London, telah mencipta rekod baharu dunia dalam percubaan pertamanya dengan jarak 16.40m, sekali gus memadam rekod dunia dan rekod Paralimpik milik Todd Hodgetts dari Australia iaitu 16.29m juga di London.

 

Atlet berusia 26 tahun itu meneruskan rentak kecemerlangan dan terus memperbaiki rekod dunia dengan jarak 16.84m pada percubaan kelimanya.

 

“Terima kasih kepada rakyat Malaysia yang menyokong saya. Tak lupa juga kepada famili saya, rakan-rakan saya, ISN, MSN dan media yang menyokong saya.

 

“Inilah hadiah saya untuk kalian semua… gambar yang viral yang saya pegang kertas ‘Doakan untuk kami di Paralimpik’ inilah hasilnya.

 

Terima kasih banyak-banyak untuk rakyat Malaysia,” katanya dalam satu rakaman video.

 

Pingat perak menjadi milik Dimitrios Senikidis dari Greece dengan 16.17m dan gangsa milik Hodgetts dengan 15.82m. – BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.